Friday, December 13, 2013

Terima Kasih Disember!


Salam semua.

1. Bulan ini adalah bulan Disember.

2. Disember kebiasannya dianggap sebagai selekoh terakhir sebelum kita memasuki tahun baru dan menyingkap kalender yang baru.

3. Sesetengah orang berpendapat, tiada apa yang berbeza antara Disember dan Januari.

4. Bagi saya pula, ada beberapa perbezaan dan persamaan antara keduanya.

5. Apabila kita melangkah masuk ke tarikh 1 Disember, kita sebenarnya mempunyai kira-kira 30 hari sahaja lagi untuk sampai ke tarikh 1 Januari.

6. Tetapi, apabila tarikh telah bertukar dan menginjak ke 1 Januari, kita terpaksa menunggu kira-kira 334 hari lagi untuk sampai semula ke tarikh 1 Disember!

7. Disember selalu dekat dengan Januari, tetapi sebenarnya Januari terlalu jauh dengan Disember.

8. Namun kedua-dua bulan ini ada persamaannya juga. Selain bilangan hari dalam sebulan yang sama, iaitu terdapat 31 hari di dalamnya, Disember dan Januari juga berkongsi satu horoskop yang sama iaitu Capricorn!

9.Menurut kiraan, zodiak Capricorn bermula dari 22 Disember hingga 19 Januari.

10. Bagi peminat-peminat tarikh lahir, mereka (termasuklah yang berhoroskop Capricorn) akan merujuk zodiak tarikh lahir mereka untuk mengetahui untung nasib mereka setiap hari.

11. Sebagai umat Islam, kita tidaklah boleh megamalkan perkara demikian kerana agama kita menegah kita menilik atau bertenung nasib.

12. Namun begitu, sewaktu di bangku sekolah, saya dan rakan-rakan selalu juga melihat zodiak kami di akhbar berbahasa Inggeris. Tujuannya adalah untuk suka-suka dan sebagai bahan ketawa. Tak lebih dari itu.

13. Berbalik kepada Disember dan Januari, bulan Disember adalah bulan terakhir dalam sesuatu tahun Masihi, manakala Januari pula adalah bulan pertama. Semua orang tahu tentang ini.

14. Jadi, kalaulah Januari boleh dianggap sebagai pembuka tahun, maka Disember adalah penutupnya.

15. Bercakap tentang penutup, maka ramai dari kita yang ingin menutup banyak perkara dalam bulan Disember.

16. Ada yang menutup kisah suka-duka sepanjang tahun, ada yang mahu menutup kejayaan yang diraih sepanjang tahun dengan kesyukuran, manakala yang gagal pula ingin menutup kegagalan masing-masing dengan rasa kesedihan, kekesalan dan kekecewaan.

17. Bagi yang putus cinta atau gagal dalam mencapai misi yang ditetapkan pula, bulan Disember akan dijadikan "tapak pelupusan memori" dan bulan terakhir untuk menangis.

18. Kalau boleh, semua kenangan pahit yang dilalui sepanjang tahun hendak "dilupuskan" dalam bulan Disember.

19. Bagi saya pula, Disember adalah "checkpoint terakhir" sebelum memasuki fasa baru dalam kehidupan.

20. Setiap kali Disember datang, saya akan lebih teruja dan bersemangat kerana tidak sabar-sabar untuk melangkah ke tahun baru.

21. Disember seolah-olah membisikkan ke telinga saya, katanya "...jangan bimbang, awak hanya selangkah lagi untuk mendapat kehidupan yang lebih baik dan gembira..."

22. Namun begitu, saya sebenarnya merindui dan akan selalu merindukan Disember tahun ini sama seperti saya merindui Disember-Disember tahun-tahun sebelumnya.

23. Sebabnya?  Kerana, Disember selalu membuatkan saya bahagia. Ia sering memberitahu saya bahawa saya masih muda.

24. Tak seperti si Januari yang nakal, yang selalu memerli saya dan membuatkan saya berasa sangat tua.

25. Tapi, walau apa pun berlaku, saya tetap sayangkan Disember, Januari termasuklah Februari hinggalah November.

26. Bulan-bulan ini sangat istimewa kerana menjadikan kita lebih bersyukur dan menghargai kehidupan kita di dunia ini.

27. Apa pun, terima kasih Disember dan semoga kita berjumpa lagi! InsyaAllah.


No comments:

Post a Comment