Wednesday, December 25, 2013

Di Hujung Jari



Salam semua.

1. Hari ini, istilah " di hujung jari " begitu popular.

2. Ia sebenarnya merujuk kepada kepantasan mendapatkan maklumat dan melakukan urusan harian. Sudah tentulah ianya berkaitan dengan penggunaan jaringan internet yang sangat meluas.

3. Di Malaysia misalnya, penggunaan internet dalam kalangan rakyat perlahan-lahan "menyusup" masuk kira-kira 15 ke 16 tahun yang lalu iaitu sekitar lewat 90an.

4. Saya masih ingat, sewaktu masih kanak-kanak, ketika sedang menonton televisyen, selalu dimainkan dan ditayangkan klip lagu " Sayangi IT " ( mungkin tajuknya kurang tepat kerana saya kurang pasti ).

5. Klip lagu ini biasanya ditayangkan sebelum siaran berita 8 malam. Saya masih ingat, ada beberapa orang penyanyi yang menyanyikannya dan salah seorang daripadanya adalah penyanyi remaja yang sedang meningkat naik pada masa itu, siapa lagi kalau bukan Siti Nurhaliza!

6. Ada beberapa baris liriknya yang masih saya ingat. Ianya adalah seperti berikut:

"...
Sayang I.T, 
Kenal I.T, 
Cinta I.T , 
Guna I.T, 
I.T "


7. Haha. Itu saja liriknya yang masih saya ingat. Lagunya sedap juga. Liriknya mudah dan "simple" dan agak "catchy".

8. Apa yang nak disampaikan menerusi lagu itu adalah kepentingan rakyat Malaysia untuk mengenali, mempelajari, menyukai dan menggunakan IT.

9. Pada waktu itu saya tidak tahupun apa itu I.T.

10. Yang saya tahu, IT itu adalah singkatan bagi "Information Technology" atau dalam Bahasa Melayunya, adalah "Teknologi Maklumat". Lebih dari itu, saya tak tahu.

11. Istilah-istilah seperti "internet", "browser", "multimedia" dan entah apa lagi amat asing bagi saya dan sangat jauh rasanya seperti jauhnya cakerawala dari bumi.

12. Pada masa itu, saya tak pernah terfikir pun yang pada suatu masa nanti, saya akan rasa "tidak tenteram" dan seperti hidup di dalam gua jika satu hari tidak melayari internet.

13. Ketika itu, saya agak asing dengan komputer. "Takut" rasanya nak dekat dengan komputer sebab saya tak pernah ada komputer dan tak tahu pun cara nak menggunakannya.

14. Masih segar dalam ingatan, betapa kagumnya saya terhadap seorang rakan sekolah rendah, yang menceritakan pada saya, yang dia bermain chess (catur) melawan komputer, dan dalam perlawanan itu, dia pernah mengalahkan komputer! Wow!

15. "Ketakutan" saya terhadap komputer sedikit demi sedikit hilang apabila arwah bapa saya menghantar saya ke kelas komputer untuk belajar tentang "mesin ajaib" itu.

16. Ketika itu saya sedang menunggu keputusan SPM, dan arwah bapa saya sanggup mengeluarkan sejumlah wang yang banyak ( lebih RM 300 ) untuk membayar yurannya. Pengendali kelas itu merangkap cikgu komputer , saya masih ingat adalah seorang lelaki India bernama Encik Ravi. Beliau sangat peramah dan baik orangnya.

17. Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pengorbanan arwah bapa saya. Rasa nak menitis pula air mata ni apabila mengenangkannya kembali.

18. Kini, apabila sudah dewasa, saya tersenyum dan rasa nak tertawa sendiri kerana yuran ratusan ringgit kelas komputer itu hanyalah unuk belajar tentang Microsoft (MS) Word, MS PowerPoint, MS Excell, serba sedikit tentang internet dan beberapa perkara lagi.

19. Saya rasa, kalau tak pergi ke kelas pun tak mengapa kerana ia boleh dipelajari sendiri jika ada komputer.

20. Tapi tak mengapalah, tidak ada istilah rugi dalam menuntut ilmu. Sekurang-kurangnya saya dapat belajar sesuatu yang baru dan arwah bapa telah menjalankan tanggungjawabnya memberi pendidikan kepada anaknya.

21. Berbalik kepada cerita asal, IT atau teknologi maklumat benar-benar meledak di negara ini kira-kira 5 atau 6 tahun kebelakangan ini iaitu sekitar tahun 2007 dan 2008.

22. Ketika itu, komputer ( atau "PC" ) dan komputer riba ( laptop ) amat mampu dimiliki walaupun harganya masih bolehlah dikatakan agak mahal.

23. Dalam kalangan mahasiswa universiti, ada satu "trend" atau fenomena memiliki dan membawa laptop kemana-mana. Beg hitam yang berisi laptop disangkut di bahu dan di bawa kemana sahaja.

24. Siswa-siswi ini akan membawa dan menggunakan laptop ( yang biasanya dibeli menggunakan wang PTPTN) ke mana-mana dan bila-bila masa sahaja.

25.  Kadangkala, kelihatan siswa-siswi menggunakan laptop di perpustakaan, di kafe, di bilik bacaan, di bilik kuliah,  ada yang duduk di lantai kaki lima menaip sesuatu dan bermacam-macam gaya lagi.

26. Siswa-siswi ini kelihatan sangat bergaya dan "cool" dengan laptop masing-masing. Ini menambahkan lagi kegilaan muda-mudi terutamanya untuk memiliki laptop.

27. Saya tidak terkecuali. Saya membeli laptop sejurus mendapat PTPTN pada tahun 2006. Ianya laptop pertama saya dan satu-satunya laptop milik saya yang saya masih gunakan hingga kini! 

28.  Selain itu, percambahan "cyber cafe" ( kafe siber ) di merata-rata tempat dengan bayaran RM 2 sejam    ( biasanya ) meningkatkan lagi pengetahuan dan menambahkan lagi minat orang ramai terhadap komputer dan teknologi maklumat.

29. Penganjuran " PC Fair "  berserta promosi besar-besaran memantaskan lagi perkembangan IT dalam masyarakat.

30. Hari ini pakej-pakej jalur lebar ( broadband ) internet amat mudah di dapati dan kadar penembusan, kelajuan serta capaiannya amat tinggi sekali. Di tambah pula dengan kehadiran telefon pintar ( smart phone ) menambahkan lagi ledakannya.

31. Dunia pada hari ini bergerak di hujung jari. Maklumat diperolehi dan disebarkan hanya dengan satu "klik" pada papan kekunci komputer ataupun tolakan lembut ke kanan atau ke kiri hujung jari di skrin telefon pintar sahaja.

32. Hari ini, hujung jari amat serba boleh.

33. Jika dahulu, hujung jari digunakan untuk beberapa perkara sahaja seperti mendapatkan cop jari, mencungkil atau membuka penutup tin biskut, menggores kad top-up, menggaru kulit yang gatal serta mengorek hidung atau telinga ( ada ke orang yang tak pernah korek hidung atau telinga dengan jari? hehe..).

34. Zaman ini penggunaan hujung jari lebih meluas. Orang zaman sekarang berkomunikasi dan "bercakap" menggunakan hujung jari.

35. Mereka ( termasuk saya ) "menulis" , "melukis", "mewarna", "bermain muzik", bahkan "berdebat"  dengan hujung jari ( bukan lagi dengan lidah yang fasih dan petah berbicara)

36. Biasa juga kita "mendengar" orang yang "ketawa", "batuk", "bersin", dan "berdehem"  pun dengan menggunakan hujung jari. Hinggakan "menendang bola" pun dengan hujung jari.

37.  Bahkan, saya pernah melihat kanak-kanak sekitar usia 7 tahun memegang ipad dengan tangan kirinya boleh "menuang dan membancuh teh" dengan hujung jari kanannya! ( oh... rupa-rupanya kanak-kanak tadi sedang bermain "game" masak-masak ).

38. Samada hujung jari sedang "ketawa", "batuk", "berdehem" atau "membancuh teh", semuanya terpapar di atas skrin.

39. Tak sangka ya,  hujung jari kita sangat "genius" dan versetail!

40.  Jadi, sama-samalah kita sayangi dan menghargai hujung jari kita!



No comments:

Post a Comment