Salam semua.
1. Kata orang, jika ada pensil tentu ada pemadamnya.
2. Pensil untuk menulis, manakala pemadam pula untuk memadamkan kesalahan atau kesilapan tulisan oleh pensil.
3. Pensil boleh menulis beribu-ribu patah perkataan, pemadam pula boleh memadamkan setiap patah perkataan yang ditulis pensil juga sehingga beribu banyaknya.
4. Mengapa pemadam mesti ada di samping pensil?
5. Hakikatnya, bukan semua yang ditulis oleh pensil itu betul, banyak juga yang tak betulnya. Justeru, si pemadam akan memadamkan kesalahan si pensil walaupun ia tahu saiznya akan menjadi semakin mengecil setiap kali ia memadamkan kesalahan yang dilakukan pensil.
6. Walaupun begitu, si pensil juga menghadapi masalah jika kerap melakukan kesilapan ketika menulis.
7. Setiap kali pemadam memadam kesalahan tulisannya, ia sebenarnya hanya membazirkan dakwat penanya.
8.Mata penanya akan cepat menjadi tumpul dan akan diasah oleh si pengasah pensil.
9. Meskipun mata pena pensil menjadi tajam setelah diasah, badannya akan menjadi semakin pendek.
10. Semakin banyak kesilapan yang dilakukan oleh si pensil, semakin banyak pula yang perlu dipadamkan oleh si pemadam.
11. Kesannya, semakin tumpul mata si pensil, semakin mengecil badan si pemadam dan semakin memendek pula tubuh si pensil.
12. Bagaimana pula dengan nasib si pengasah pensil?
13. Semakin kerap si pengasah pensil menajamkan mata pensil, mata pengasah pula akan cepat menjadi tumpul.
14. Apa yang akan berlaku seterusnya?
15.Pensil akan menjadi ketot, pemadam akan menjadi kenit dan si pengasah akan menjadi longgar.
16. Jadi apa kesudahannya?
17. Pensil dan pemadam akan lenyap manakala pengasah yang sudah tumpul itu pula akan hilang tanpa disedari.
18. Kesimpulannya, kurangkanlah atau jangan langsung buat kesalahan ketika menulis dengan pensil.
19. Agar, pensil lambat memendek, pemadam tidak mengecil dan pengasah tidak menjadi longgar.
20. Ada orang kata, kalau takut melakukan kesilapan, jangan menulis langsung dengan pensil.
21. Kalau begitu, apa guna pensil, pemadam dan pengasah dicipta?
22. Ia sebenarnya satu hakikat. Walau sebaik manapun tulisan si pensil, ia tetap akan memerlukan pemadam dan pengasah.
23. Sungguhpun si pensil cuba meminimakan kesalahan dirinya, ia tetap memerlukan kedua-dua temannya itu.
24. Rasanya si pemadam dan si pengasah tidak pernah kisah atau memikirkan sangat bagaimana pengakhiran hidup mereka. Mereka tidak peduli jika badan mereka mengecil dan mata mereka menumpul.
25. Kerana mereka tahu, disebalik keagungan sesuatu karya sastera itu, pastinya diri mereka adalah sebahagian darinya.
No comments:
Post a Comment