Salam semua.
1. Ya, saya tahu saya salah. Saya telah menulis tajuk yang salah untuk entri kali ini. Peribahasa yang betul adalah " Musang Berbulu Ayam ". Bukannya terbalik seperti "Ayam Berbulu Musang"
2. Kita semua sedia maklum tentang maksud peribahasa " musang berbulu ayam ". Yang tak tahu atau tak pernah dengar pun peribahasa ini, mari saya terangkan makna disebaliknya.
3. Peribahasa " musang berbulu ayam " ini menggambarkan seseorang atau sekolompok orang yang berpura-pura baik kerana mahukan sesuatu atau ingin mengambil kesempatan terhadap orang lain.
4. Contohnya, ada orang yang berpura-pura begitu baik terhadap diri kita dengan cara sangat mengambil berat tentang diri kita dan seolah-olah sangat bersimpati dengan nasib malang yang menimpa kita.
5. Oleh kerana amat percaya dan yakin dengan keikhlasan dengan sikapnya itu, tanpa kita sedari sebenarnya orang itu hanyalah berpura-pura sahaja di hadapan kita. Niat sebenarnya adalah ingin mengorek segala rahsia, mengintip kelemahan, dan maklumat peribadi kita.
6. Setelah semua maklumat dan rahsia peribadi kita sudah dia tahu, ( kerana kita sendiri yang memberitahu akibat terpedaya) maka kita akan dimangsakannya dengan pelbagai cara.
7. Antaranya, dengan menyebarkan keaiban kita, memburuk-burukkan personaliti kita di hadapan orang lain, melaga-lagakan untuk melihat kita bernusuh dengan pihak lain dan seribu macam cara lagi.
8. Hakikat bahawa orang ini berkelakuan baik di hadapan kita tidak lebih hanyalah satu bentuk "lakonan sinetron" semata-mata.
9. Ada pasangan suami-isteri yang bercerai-berai angkara sikap "musang berbulu ayam ini", ada yang tertipu dalam bentuk wang tunai hingga mengalami kerugian beribu-ribu hingga berjuta-juta ringgit banyaknya, ada yang menderita kerana mengalami kemusnahan reputasi, terdapat juga mengalami kecederaan fizikal dan mengalami tekanan mental yang dahsyat dan banyak lagi.
10. Pendek kata, sikap "musang berbulu ayam" adalah sifat hipokrit tahap tertinggi yang boleh mendatangkan kemudaratan dan penderitaan yang sukar dibayangkan kesannya.
11. Golongan ini sentiasa ada dalam masyarakat dan sekeliling kita. Cuma, mereka sukar untuk di kesan dan lihat di depan mata kita kerana sangat pandai berpura-pura.
12. Jika kita tidak berhati-hati, sudah tentu kita akan menjadi mangsa mereka ini.
13. Mungkin ada yang terfikir, dari mana peribahasa ini mendapat namanya?
14. Itulah keistimewaan dan kebijaksanaan orang Melayu dulu-kala.
15. Mereka "hidup" dengan alam sekeliling, melihat, berfikir dan belajar setiap kejadian yang berlaku, memindahkan teori dan fakta dalam bentuk idea dan falsafah seterusnya merumuskan pengajaran yang mendalam dalam bentuk peribahasa dan bidalan buat panduan generasi seterusnya.
16. Saya telah lama mendengar peribahasa "musang berbulu ayam" ini. Kalau tak salah, semenjak saya mengenali apa itu peribahasa. Anda pun rasanya sama seperti saya.
17. Walaupun saya tahu apa maksud disebalik peribahasa ini, saya tak pernah berfikir dan berimiginasi bagaimana seekor musang "memakai" bulu ayam.
18. Saya tidak menternak ayam. Ketika saya kecil, ada reban ayam di belakang rumah saya. Ia dibuat oleh arwah bapa saya kerana dia dulunya ada menernak ayam. Saya masih ingat. Tetapi, lama selepas itu, arwah bapa tidak lagi menternaknya.
19. Baru-baru ini, ada beberapa ekor ayam entah sesat dari mana telah menjadikan kawasan belakang rumah tempat mencari "rezeki" mereka.
20. Mungkin disebabkan kawasan belakang rumah saya ini banyak makanan (kot?), maka makin lama makin banyak pula ayam datang ke sini. Lagi pun, jiran sebelah rumah saya selalu beri ayam-ayam ini makan. Kadang-kadang di taburnya beras dan nasi. Maka bertambahlah lagi ayam-ayam "pendatang asing" ini.
21. Ayam-ayam yang dah sedia banyak ini, di"ramai"kan lagi apabila "mak-mak ayam" ini bertelur dan mengeram di situ. Anak-anak ayam yang menetas ini pun menjadikan "komuniti" ayam ini semakin membesar.
22. Saya suka melihat ayam yang banyak ini. Sebab, telurnya boleh diambil, dan ia boleh ditangkap dan disembelih bila tiba masanya. Tak perlu lagi beli di pasar.
23. Namun satu perkara yang amat merimaskan saya ialah, dengan bertambahnya ayam, maka "sisa toksin"nya juga bertambah. Alah, sisa toksin tu dah tentulah najisnya.
24. Jika dahulu, sebelum wujudnya "masyarakat" ayam dibelakang rumah saya, dan sebelum mereka berkembang biak, saya bebas berjalan atas simen (sebahagian belakang rumah saya bersimen, tapi tidak beratap), dengan bebas tanpa selipar, kini kebebasan itu sudah "dirampas".
25. Saya "wajib" berselipar" atau kalau tidak berseliapar saya kena berjalan berhati-hati (kadang-kadang berjengkit-jengkit) untuk mengelak terkena "sisa asli" mereka. Jika tak berhati-hati, alamat "selamatlah" tapak kaki ini.
26. Dari sudut positifnya, ayam-ayam jantan ini bagus kerana akan berkokok setiap subuh hari, tanda fajar akan menyinsing. Ada juga sumbangannya pada kami sekeluarga.
27. Ketika baru-baru mendiami kawasan belakang rumah, ayam-ayam jantan ini berkokok tak kira masa. Kadang-kadang pagi, tengahari, petang, lepas maghrib pun kadangkala ia berkokok. Saya dan ibu selalu ketawa dengan gelagat ayam-ayam ini apabila mendengar ayam-ayam jantan ini yang berkokok tak ikut time dan hanya "ikut suka dan sedap je". hehe.
28. Pada waktu petang, ayam-ayam ini, akan mencari makan jauh sedikit kebelakang rumah berdekatan kawasan semak seakan hutan. Anak-anak ayam ini ikut bersama.
29. Saya ada menanam beberapa batang anak pokok di kawasan belakang rumah saya. Pokok-pokok itu termasuklah anak pokok durian, manggis, rambutan, kelapa, harum manis dan beberapa jenis pokok lagi. Ia hobi baru saya sejak kebelakangan ini.
30. Biasanya, setiap pagi, (kalau rajin dan berkelapangan), saya akan menyiram air pada pokok-pokok ini dan melihat-lihatnya.
31. Suatu pagi, ketika saya sedang menyiram anak-anak pokok itu, saya perasan ada banyak bulu ayam jantan berhampiran anak pokok manggis saya.
32. Saya ingatkan, ayam ini "main-main" dekat situ sampai bulunya tertanggal. Rupa-rupanya, setelah disiasat, bulu ayam itu terlalu banyak dan akhirnya barulah saya tahu yang ayam ini telah dimakan oleh haiwan lain. Ada kesan darah di situ.
33. Saya tak melihatnya, tapi saya yakin bahawa pasti musang punya angkara ni. Memang disebalik semak-samun di belakang rumah saya banyak haiwan-haiwan pemangsa seperti musang, biawak dan dulu pernah ada ular! ( ngeri rasanya bila diingatkan balik ).
34. Beberapa hari selepas itu, seekor demi seekor anak ayam "hilang". Ibu saya mengesannya apabila mendapati anak-anak yang banyak itu telah berkurangan dari hari ke hari.
35. Kasihan ayam-ayam ni. Ibu saya cuba nak tangkap anak-anak ayam itu, untuk diletakkan dalam tempat selamat. Tapi masalahnya, si ibu ayam tu terlalu garang, sampai nak di patuknya sesiapa sahaja yang cuba mengambil anaknya tu. Yalah kan, ibu mana yang tak sayang anak, ye tak?
36. Bila teringat kan peristiwa tersebut (ayam hilang dimakan musang), saya terus teringatkan peribahasa "musang berbulu ayam" ini. Kalau mengikut teori peribahasa ini, ayam-ayam di belakang rumah saya ini mungkin tak perasan kehadiran musang ketika sedang asyik mencari makan kerana musang-musang ini "menyamar" jadi ayam kot.
37. Mungkin kalau ayam-ayam ini tahu bahawa yang sedang bersama mereka itu bukanlah teman-teman ayam, tetapi si musang yang "memakai baju" yang sama seperti mereka, tentu mereka dah lama cabut lari.
38. Haha. Ia cuma satu analogi. Hakikatnya ialah ayam sangat "cuai" dan tak pernah ambil iktibar dan sedar yang musang sentiasa mengintip pergerakan mereka.
39. Mungkin, ayam di belakang rumah saya perlu berubah dan buat sedikit anjakan paradigma. Contohnya, ketika sedang mencari makan di kawasan berhampiran semak, mereka "memakai" bulu atau "kostum" yang menyerupai musang. Tujuannya untuk mengelirukan dan memperbodohkan musang pula. Jadi keselamatan diri dan keluarganya terjamin.
40. Kalau ianya benar-benar belaku, maka ketika itu, akan lahir pula satu peribahasa baru yang moden iaitu, " Ayam Berbulu Musang". Sebab itulah saya pilih ia sebagai tajuk entri saya kali ini!
No comments:
Post a Comment