Friday, December 20, 2013

Dunia Yang Bulat


Salam semua.

1. Sewaktu di sekolah rendah, kita diberitahu oleh guru Sains bahawa bumi kita berbentuk sfera.

2. Saya tidak tahu bagaimana dengan anda, tetapi bagi saya, itu adalah detik pertama saya mendengar perkataan "sfera".

3. Sebelumnya, saya hanya ingat bumi ini bentuknya bulat. Kalau bulat, tentulah rata.

4. Walaupun kisahnya ( bumi itu sfera ) ringkas, tetapi amat besar dan banyak maknanya pada saya.

5. Pertama, katakanlah, ibu bapa saya tidak menghantar saya ke sekolah, sudah tentu sampai mati saya akan menyangkakan bumi ini bentuknya bulat.

6. Keduanya, jika guru atau cikgu tidak memberitahu bahawa bumi ini sfera, dan juga menerangkan apa itu makna sfera, tentu juga saya akan terus-terusan "menuduh" bumi ini bulat.

7. Saya amat berterima kasih kepada kedua ibu bapa saya dan guru-guru saya. Saya kenal dunia kerana jasa mereka semua.

8. Berbalik kepada bumi yang sfera. Sebenarnya, ada beza yang sangat ketara antara bentuk bulat dan sfera meskipun kedua-duanya seakan sama.

9. Sfera ( sphere -istilah dalam Bahasa Inggeris ) adalah bentuk geometri 3 dimensi ( 3D ) yang mempunyai jarak jejari ataupun radius ( r ) yang sama dari titik pusatnya. Ia mempunyai luas permukaan dan isi padu yang boleh dikira melalui formula matematik tertentu. Contoh sfera adalah bola sepak, bola boling ataupun bola ping-pong.

10. Untuk luas permukaan sfera, formulanya adalah seperti dibawah:

                               A = 4π r2  

                                     
                            dimana: A = Luas pemukaan sfera
                                        π = 3.142
                                         r = jejari


11. Isipadu sfera pula dikira melalui formula berikut :

                              V = 4/3 πj3  
                   
                           dimana: V = Isipadu sfera
                                        π = 3.142
                                         r = jejari


12. Bulatan pula tidak mempunyai isi padu dan berbentuk 2 dimensi ( 2 D ) dan mempunyai permukaan yang rata. Contoh bulatan adalah piring dan sekeping cakera kompak ( CD ) atau pun DVD ( Digital Versatile Disc ).

13. Luas bulatan dikira melalui formula: A =  π r 2       


14. Lilitan bulatan pula adalah 2 π r.

15. Kesemua formula matematik berkaitan sfera dan bulatan seperti yang dinyatakan di atas ( juga lain-lain formula ) saya  pelajari di sekolah.

16. Setelah di dedahkan dengan ilmu Matematik dan Sains di sekolah, barulah saya tahu betapa besarnya perbezaan maksud antara sfera dan bulatan.

17. Ini bermakna, jika saya tidak belajar mengenainya, atau tiada sesiapa yang memberitahu saya tentang beza bulatan dan sfera, maka saya akan abadi melihat dunia dengan cara yang salah.

18. Apa akan terjadi bila saya melihat dengan cara yang salah? Saya akan berfikir dengan cara yang salah, bertindak dengan cara yang salah, dan menganggap semua orang lain adalah salah.

19. Akhirnya yang betul hanya seorang iaitu diri saya sendiri!

20. Oleh yang itu, saya akan sentiasa berfikir bahawa dunia ini bulat dan rata, sama bulat seperti sekeping DVD! Dengan berfikiran sedemikian ( bumi seperti sekeping DVD ) maka tentu pada pendapat saya sampah yang saya buang akan terus hilang kerana jatuh ke bawah dunia (kerana bumi seperti permukaan DVD yang licin). 

21. Akhirnya saya akan bertindak dengan cara yang salah iaitu membuang sampah merata-rata tanpa mengetahui kesannya pada bumi.

22. Disamping berbentuk sfera, bumi juga bergraviti. Apa pula itu graviti? Graviti adalah suatu daya pada bumi yang menarik semua objek ke bawah. Oleh itu, semua benda, termasuk kita, tidak terapung di udara. 

23. Mujurlah saya telah mengetahui lebih awal bahawa dunia ini bukan bulat yang rata tetapi sfera, dan bergraviti. Jadinya, dapatlah saya melihat dunia dengan cara yang betul, berfikir dengan betul dan bertindak dengan betul.

24. Sebagai contoh, setiap kali ingin membuang sampah, saya akan berfikir tentang tong atau bakul sampah, dan bertindak dengan membuangnya ke tempat sepatutnya kerana sampah tidak jatuh dari dunia dan terus hilang. 

25. Semuanya kerana saya tahu bahawa bumi yang saya tinggal ini bentuknya sfera dan ada daya graviti!

26. Jika kita melihat atau terjumpa kanak-kanak yang mengatakan dunia ini bulat dan rata, dengan penuh kasih sayang, maka betulkanlah pandangan mereka itu.

27. Mungkin ia nampak remeh, namun,  -Awas! Kita bimbang mereka akan terus melihat dunia dengan cara yang salah.

28. Katakan pada mereka dunia ini bentuknya sfera.

29. Tunjukkan sahaja bola sepak atau bola ping pong kepada mereka, minta mereka lambung ke atas, lihat apa yang terjadi, dan katakan kepada mereka yang dunia ini seperti bola yang mereka lihat dan lambung. Jika mereka masih tidak faham, tidak mengapa, biarkan sahaja. Mereka masih keanak-anakan.

30. Yang lebih penting, asalkan mereka tahu bahawa dunia ini tidak bulat tetapi sfera!



1 comment: