Thursday, December 12, 2013

3 Idiots


Salam semua.

1. Semalam, sebelum saya masuk tidur, saya menonton sebuah filem Hindi yang berjudul 3 Idiots yang ditayangkan di sebuah stesen televisyen.

2. Rasanya, termasuk semalam, saya telah tonton filem ini lebih dari sepuluh kali kot.

3. Pertama kali saya menonton filem ini adalah pada beberapa tahun lepas melalui laptop saya. Seorang rakan saya telah menyalin filem ini ke dalam cakera keras (hard disc) saya, dan saya pun menontonnya.

4. Saya bukanlah peminat tegar filem-filem Hindustan. Tetapi, sejak dari kecil lagi, saya selalu juga menonton filem-filem Hindi yang ditayangkan di saluran-saluran TV. Ini kerana, ibu saya minat dengan filem-filem Hindustan.

5. Namun, sekitar tahun 1998 hingga 2000, demam Bollywood yang melanda dunia khususnya Malaysia turut berjangkit pada saya.

6. Filem Kuch Kuch Hota Hai, lakonan hero Hindustan terkenal, Shah Rukh Khan (SRK) disamping heroin jelita Kajol dan Rani Mukhrejee adalah filem yang menjadi kegilaan ramai pada masa itu.

7. Saya tidak terkecuali meminati filem itu. Tetapi, ketika itu saya masih kecil dan bersekolah. Saya masih ingat pertama kali saya menonton filem itu adalah di dalam bas ketika dalam perjalanan mengikuti rombongan ke Cameroon Highlands.

8. Ada dua perkara yang sangat mengkagumkan saya tentang filem Kuch Kuch Hota Hai pada masa itu, iaitu pertama, kesemua lagu-lagu dalam filem itu sangat sedap, merdu dan menyentuh perasaan.

9. Keduanya, saya rasa, sepanjang hidup saya menonton filem Hindi, itulah kali pertama saya melihat tiada langsung babak tumbuk menumbuk, atau aksi bergasak melayang-layang antara hero dengan orang jahat yang bunyi tumbukannya amat dahsyat, padu dan menakutkan.

10. Jalan cerita dalam filem itu mungkin sedikit berlainan, tetapi temanya tetap sama seperti kebanyakan filem-filem Hindi sebelumnya iaitu cinta.

11. Selepas, filem Kuch Kuch Hota Hai, tidak banyak filem Hindi yang memberi impak yang besar kepada saya. Kebanyakan filem selepas itu adalah sama sahaja, dengan jalan cerita yang diolah-olah agar nampak sedikit berlainan antara satu dengan yang lain.

12. Mungkin, filem Kabhi Kushi Kabhi Gham ( lakonan SRK, Kajol dan Hrithik Roshan) dan filem Mann ( lakonan Aamir Khan, Manisha Koirala dan Anil Kapoor) sedikit menarik perhatian saya.

13. Namun begitu, filem-filem Hindi yang lain, pada zaman demam Bollywood tersebut, masih berjaya menghasilkan lagu-lagu merdu dan indah serta sedap di diengar walaupun saya tidak mengerti maksudnya.

14. Filem Slumdog Millionaire ( lakonan Dev Patel, Freida Pinto dan Anil Kapoor) sekitar tahun 2008, berjaya menarik minat saya untuk kembali menonton filem Hindi walaupun sebenarnya filem ini diarahkan oleh seorang yang berbangsa Inggeris.

15. Kekuatan filem Slumdog Millionaire adalah pada jalan ceritanya yang diadaptasi dari naskhah novel Q&A. Dari sudut lagu dalam filem pula, tiada satu pun lagu dalam filem ini dapat menyaingi keindahan melodi filem Mann dan lain-lain filem Hindi yang lain.

16. Oh ya. Saya terlupa. Ada satu lagi filem Hindi yang sangat bagus dan terbaik pernah saya tonton. Nama filem itu adalah Baghban yang dibintangi antaranya Amitabh Bachan, Hema Malini, Salman Khan dan Mahima Chaudhry. 

17. Filem ini bertemakan kekeluargaan dimana ibu bapa yang terasa hati dengan sikap anak-anak yang tidak menjaga perasaan dan tidak menghormati kedua ibu bapa masing-masing. Saya sarankan bagi anda yang belum pernah menonton filem ini, cubalah menontonnya sekali. Banyak pengajaran yang boleh diambil.

18. Berbalik kepada filem 3 Idiots, saya menyifatkan filem ini sebagai antara filem Hindi yang layak disenaraikan sebagai filem A List.

19. Selain filem Kuch Kuch Hota Hai, Slumdog Millionaire dan Baghban filem, 3 Idiots adalah filem yang saya rasa lain daripada yang lain.

20. Filem ini adalah filem komedi-drama yang mengisahkan tiga sahabat baik iaitu Farhan Qureshi ( lakonan R.Madhavan) , Raju Rastogi (Sharman Joshi), dan Rancchoddas "Rancho" Shyamaldas Chanchad (lakonan Aamir Khan) menjalani suka duka kehidupan sebagai pelajar kejuruteraan di Kolej Kejuruteraan Imperal (IEC). 

21. Merupakan sebuah filem komedi yang diselang-selikan dengan tangisan dan air mata, 3 Idiots sarat dengan mesej berguna dan memberi terlalu banyak inspirasi buat para penontonnya di mana sepanjang filem ini, watak utama, Rancho, sentiasa mengubah sudut pandang tradisional yang sudah sebati dengan masyarakat hari ini.

22. Tema utama filem ini adalah pendidikan, persahabatan, pengorbanan, ketabahan, kasih sayang keluarga dan diselitkan sedikit dengan tema cinta. Sebab itu ada watak Pia (lakonan Kareena Kapoor).

23. Disebalik perwatakan kelakar dan gila-gilanya, Rancho sentiasa mencabar para penonton dengan menyanggah mentaliti lapuk dan usang dan stigma primitif masyarakat tentang dunia persaingan yang menggila, mendefinisikan semula makna kejayaan dan kecemerlangan, mengkritik sistem pendidikan dan pengajaran sedia ada dan memberi takrifan sebenar tentang nilai persahabatan dan cinta.   

24. Ia juga memperlihatkan tentang pertembungan antara idea baru dan lama yang mana, cara pemkiran dan model lama yang dibawa melalui watak Professor Viru Sahasterabuhhe atau pun ViruS (lakonan Boman Irani).

25. Banyak pekara yang menarik yang boleh dijadikan inspirasi dalam filem ini. Sebagai contoh, watak Farhan yang belajar dalam bidang kejuruteraan hanya kerana menurut kemahuan dan arahan dari ayahnya, sedangkan minat dan bakatnya adalah dalam bidang fotografi. Ia disindir oleh Rancho dengan mengatakan, "kamu bercinta dengan fotografi, tetapi berkahwin dengan kejuruteraan"

26. Begitu juga, apabila Rancho membuka minda Raju Rastogi apabila mengatakan cincin yang dipakai Raju lebih banyak daripada bilangan jarinya merujuk terlalu banyak ketakutan dalam dirinya berbanding keyakinan terhadap diri sendiri.

27. Profesor ViruS juga turut ditegur kerana hanya melahirkan "mesin" dan tidak mengajar inovasi atau ciptaan baru. Selain itu, sistem pengasingan pelajar mengikut kedudukan gred peperiksaan pelajar ketika mengambil gambar turut disentuh oleh Rancho.

28. Selain itu, Rancho menyedarkan Pia tentang makna cinta sejati. Cinta menurut Rancho, bukanlah terletak pada tanda harga, tetapi keikhlasan seseorang.

29. Watak Chatur Ramalingam ataupun "Silencer" lakonan (Omi Vaidya) yang menjengkelkan turut memberi banyak pengajaran kepada para penonton. Beliau cuba disedarkan oleh Rancho bahawa, belajar dengan menghafal tanpa memahami maksud sebenar hanya akan merosakkan diri sendiri. 

30. Juga ungkapan "jangan mengejar kejayaan, tetapi biar kjeayaan yang mengejar kita" adalah nasihat Rancho kepada "Silencer" yang boleh kita manfaatkan.

31. Ungkapan "All is Well" yang dipopularkan oleh Rancho untuk menghilangkan ketakutan hati juga sangat menarik perhatian.

32. Sistem pengajaran yang terlalu menekankan persaingan untuk menjadi nombor satu dan secara tidak langsung menghilangkan rasa keseronokan mendapat ilmu baru turut diolah dengan baik oleh Rancho. 

33. Sebenarnya, setiap watak dalam filem ini mewakili sebahagian besar kelompok masyarakat pada hari ini.

34. Cara kita berfikir, dan cara kita melihat dunia adalah sangat streotaip dan kaku.

35.Justeru, kita perlukan anjakan besar dalam pemikiran dan sudut pandang kita harus lebih dinamik, luas dan tidak jumud.

36. Untuk menjadi lebih maju, kita perlu berani berubah dan mencabar idea-idea lama yang tidak lagi relevan selari dengan perubahan zaman.

37. Walau bagaimanapun, saya bersetuju apabila menuju penghujung klimaks filem ini, Professor ViruS menegur Rancho, bahawa beliau (Rancho) tidak boleh selalu menganggap dirinya betul kerana kadang-kadang, tidak semua perkara kita dapat fikirkan sebab ia sedemikian dan kenapa ia berlaku.

38. Profesor ViruS memberi contoh, pensil tidak digunakan oleh angkasawan di dalam kapal angkasa kerana jika matanya patah, ia mungkin akan berterbangan dan masuk ke dalam bahagian-bahagian penting dalam kapal angkasa dan mungkin akan mengundang bahaya.

39. Ini untuk menjawab persoalan Rancho mengenai pen angkasawan pada hari pertama mereka di IEC.

40. Walaupun Rancho banyak mempersoalkan itu dan ini, beliau tetap membuktikan bahawa dia seorang pelajar yang cemerlang, bertanggungjawab, sangat sayangkan sahabat-sahabatnya dan baik hati.

41. Buktinya, beliau mendapat tempat pertama setiap kali peperiksaan semester, betungkus lumus membawa ayah Raju yang sakit ke hospital, berikhtiar bersungguh-sungguh untuk menyedarkan Raju yang terlantar di katil wad, mengetuai misi membantu kakak Pia, Mona, melahirkan bayi, membantu Man Mohan (MM / milimeter) mendapatkan pendidikan, membuka sekolah khas untuk mengajar kanak-kanak dalam bidang Sains dan banyak lagi. Beliau juga setia dengan cintanya terhadap Pia kerana sanggup menunggu gadis itu.

42. Terlalu banyak pengajaran, nasihat dan sindiran filem ini kepada masyarkat. Skrip naskhah filem ini amat mengkagumkan saya. Bagi saya, ia amat bagus dan mengetuk fikiran saya dan ia membuat saya begitu teruja dan enjoy sekali.

43. Bagi saya, filem ini telah membuka dimensi baru dalam diri saya, dan mengubah sebahagian besar cara saya melihat kehidupan.

44. Selepas menonton filem ini, saya terfikir, alangkah bagusnya, jika filem ini diterbitkan lebih awal dan saya berpeluang menontonnya ketika saya dibangku sekolah rendah lagi.

45. Tentu sekali rasanya, saya pada hari ini adalah berlainan dengan saya yang sekarang.


No comments:

Post a Comment