Friday, December 6, 2013

Banjir di Malaysia

1. Salam semua.

2. Hari ini seperti sedia maklum antara isu yang paling mencuri tumpuan rakyat Malaysia dan dipaparkan di media-media adalah situasi banjir besar yang berlaku di Pahang, Terengganu, Johor dan Kelantan.

3. Di Malaysia, banjir adalah salah satu bencana alam yang paling kerap dan biasa berlaku.

4. Tidak seperti negara-negara lain, bencana-bencana seperti gempa bumi, letusan gunung berapi, ribut taufan yang dahsyat, kebakaran besar akibat cuaca panas, ribut salji dan lain-lain lagi tidak berlaku di Malaysia ---sekurang-kurangnya tidak buat masa sekarang. Alhamdulillah syukur.

5. Tsunami, bencana yang biasanya dikaitkan dengan negara Jepun pernah membadai Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara yang lain  pada tahun 2004 adalah satu-satunya bencana bagi saya yang agak luar biasa berlaku di negara ini.

6. Selain itu, bencana alam yang berlaku di Malaysia adalah fenomena yang biasa dan kerap berulang di sini.

7. Banjir contohnya, adalah bencana alam yang berlaku hampir setiap tahun. 

8. Setakat ini, saya tidak ada pengalaman mengalami suasana banjir (Alhamdulillah, sekali lagi syukur) memandangkan tempat tinggal saya sememangnya kawasan yang jarang berlaku banjir besar. 

9. Seingat saya, tempat paling hampir yang terkena banjir di daerah saya pun kira-kira 8-10 kilometer dari rumah saya, iaitu di kampung saudara saya dalam 5-6 tahun lepas. Itupun tidaklah dalam sampai paras lutut.

10. Ibu saya pernah bercerita tentang banjir besar yang berlaku di daerah kami pada sekitar tahun 1960 an sehingga menenggelamkan seluruh bandar kami.

11. Sewaktu saya kecil sehingga remaja, saya selalu menonton laporan berita tentang banjir yang melanda negeri-negeri pantai timur khususnya Kelantan dan Terengganu akibat musim tengkujuh yang berpanjangan.

12. Saya melihat kanak-kanak di sana riang bermain air. Penduduk dan penyelamat pula menggunakan sampan dan bot sebagai alat pengangkutan semasa banjir. Juga dipaparkan mangsa-mangsa banjir yang mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan. Ini membuatkan kami sekeluarga, terutama ibu saya amat bersimpati dengan mereka.

13. Tahun demi tahun, saya hanya mendengar laporan banjir (biasanya bulan November dan Disember) di Kelantan dan Terengganu.

14. Amat jarang sekali saya mendengar laporan mengenai banjir besar di negeri-negeri lain.

15. Namun, sejak kebelakangan ini, saya agak terkejut kerana banjir besar berlaku bukan hanya di kedua-dua negeri Pantai Timur itu, malah turut berlaku di negeri-negeri lain seperti di Johor, Pahang, Perlis, Kedah dan Perak.

16. Bukanlah saya bermaksud dan mahu banjir mesti berlaku hanya di Kelantan dan Terengganu sahaja, tetapi memandangkan kebiasaannya hanya dua negeri ini sahaja dilanda banjir jadi ia amat luar biasa.

17. Misalnya, banjir besar di Johor sekita tahun 2006 atau 2007, ia berita yang menggemparkan negara kerana tidak berlaku sebelumnya.

18. Kali ini pula, kita melihat Pahang, khususnya daerah Kuantan yang teruk terjejas kerana banjir.

19. Apakah punca ini berlaku? Adakah kerana pembangunan pesat yang tidak terkawal menjadi sebab kepada banjir kali ini?

20. Kita tidaklah mahu menyalahkan mana-mana pihak. Bencana alam adalah di luar kawalan manusia. Sudah ketentuan Ilahi.Tetapi langkah-langkah wajar sepatutnya diambil oleh pihak bertanggungjawab pada masa hadapan agar bencana ini tidak berulang pada masa hadapan.

21. Saya berharap banjir yang sedang melanda di Pahang, Johor, Terengganu dan Kelantan segera surut dan mangsa-mangsa banjir dapat segera pulang dan menjalani kehidupan seperti biasa.

22. Kepada para petugas bencana, tahniah dan terima kasih atas usaha membantu dan menyelamat mangsa banjir.

23. Kepada rakyat Malaysia yang lain, sama-samalah kita berdoa agar bencana ini segera berakhir dan keselamatan mangsa terpelihara.

24. Semoga para mangsa sentiasa bersabar dan tabah dengan dugaan Allah ini.InsyaAllah.

25. Sama-sama kita doakan.




1 comment:

  1. My videos on YouTube - YouTube - VODl.cc
    YouTube - Video Gaming Channel videos youtube mp3 on YouTube are a way to discover and connect with other gamers, whether they are friends, family or professional.

    ReplyDelete