Salam semua.
1. Kaki adalah pancaindera yang mempunyai keistimewaannya sendiri.
2. Sama seperti organ lain, kita tahu sepasang kaki mempunyai peranan yang amat penting dalam binaan tubuh manusia.
3. Sebahagaian besar daripada tugasnya ialah melangkah, dan menggerakkan seluruh badan samada ke hadapan atau kebelakang, kekiri ataupun ke kanan.
4. Kita melangkah dengan kaki, berjalan dengan kaki, berlari dengan kaki, melunjur, melompat, menendang dan memanjat pun dengan kaki.
5. Pendek kata, fungsi dan peranan sepasang kaki adalah amat besar sekali.
6. Kaki amat istimewa. Sebab itulah, apabila kita melangkah keluar dari rumah, kita akan sarungkannya dengan pakaian khas. Ia untuk melindungi kaki kita daripada tercedera, kotoran dan juga wabak penyakit selain menghargai kaki kita sendiri. Ia juga kadang-kadang bertujuan untuk bergaya.
7. Pakaian khas untuk kaki ada pelbagai nama. Saya lebih sukakan nama klasiknya iaitu sepatu.
8. Sebenarnya, nama sepatu ada pelbagai bergantung kepada rupa, bentuk, bahan buatan dan fungsinya. Ada yang dipanggil selipar, capal, terompah, kasut, but dan sebagainya.
9. Kalau langkahnya dekat dan santai, biasanya kita pakai sepasang selipar atau capal.
10. Kalau langkahnya sederhana dan jauh, biasanya kita pakai sepasang kasut.
11. Kalau aktiviti yang akan dilangkahinya formal, maka kita akan pakai sepatu yang lebih cantik dan mungkin berjenama dan sedikit mahal.
12. Begitu jugalah halnya jka tempat yang ditujui itu lecak, kotor, berduri ataupun basah, lainlah jenis sepatu yang dikenakan.
13.Dari segi aktiviti pula, sepatu yang dipakai turut bebeza. Aktiviti lasak, lain sepatunya, bersukan juga ada sepatunya tersendiri.
14. Sepatu juga berbeza dari segi siapa si pemakainya. Jika lelaki, lainlah sepatunya, dan kalau wanita lebih banyak sepatunya.
15. Ada sepatu untuk kanak-kanak, ada juga sepatu untuk orang dewasa. Ada sepatu yang mahal harganya sehingga mencecah ribuan ringgit dan ada juga sepatu yang sangat murah.
16. Sepatu turut wujud dalam pelbagai warna. Macam-macam warna sehingga tak tersebut banyaknya.
17. Seperti lain-lain pakaian, sepatu juga turut tidak terlepas dari gelombang fesyen yang rencam dan pelbagai . Seperti biasa, golongan muda-mudi yang mementingkan gaya dan penampilan akan memilih sepatu berdasarkan trend semasa.
18. Sepatu mempunyai "mekanik"nya tersendiri. Kita biasa melihat orang menghantar sepatu yang rosak tetapi masih boleh dibaiki kepada tukang-tukang kasut yang biasanya duduk di kaki lima.
19. Bertimbun sepatu yang perlu dibaiki oleh tukang kasut. Melihat jumlah sepatu yang banyak sekali, sudah tentu sekali pendapatan si tukang kasut amat lumayan sekali.
20. Walau apa pun nama, rupa, bentuk, fungsi, harga, warna, fesyen dan gaya sepatu yang wujud sebenarnya ada satu keistimewaan sepatu yang kita perlu kita akui dan kagumi yang tidak pernah berubah dari dahulu sampailah bila-bila.
21. Sepatu wujud secara berpasang. Sepatu akan berdua walau kemana sahaja kaki melangkah. Jika sepatu cuma tinggal satu, pasti langkah menjadi pincang dan kekok.
22. Walau semahal dan secantik manapun sepatu itu, jika salah satu pasangannya (kiri atau kanan) hilang, maka sepatu tidak istimewa lagi..
23. Sepatu adalah pasangan yang paling romantik dan setia. Berdua bersama walau ke mana sahaja melangkah. Jika ditanggalkan dan ditinggalkan di luar rumah atau dimuka pintu, pasti kedudukan mereka berdekatan dan jarang sekali duduk berjauhan.
24. Ada sesuatu yang boleh kita pelajari dari sepatu walaupun letaknya ia nun di bawah kaki kita.
25. Buat masa ini, sepatu istimewa saya adalah sepasang selipar getah. Ia berwarna merah. Itulah peneman paling setia saya ketika saya melangkah keluar dari rumah.
26. Sebab itu saya panggil mereka sebagai Sepasang Sepatu Merah.
No comments:
Post a Comment