Salam semua.
1. Bagaimana cara anda memberus gigi?
2. Terkejut dengan soalan ini? Saya juga akan terkedu jika tiba-tiba ditanya dengan soalan ini.
3. Soalan ini bukan susah, tetapi kerana ia tidak termasuk dalam kategori FAQ ataupun pertanyaan yang lazim, kita akan menjadi sedikit kekok untuk menanganinya.
4. Justeru, kita akan mengambil sedikit masa untuk berfikir dan kemudian menjawabnya. Lainlah kalau kita ditanya apa menu sarapan kegemaran kita, atau apa hobi kita, atau pun samada kita sudah gosok gigi ke belum hari ini, mungkinlah laju kita menjawabnya.
5. Berbalik kepada soalan tadi, rasanya kita semua memberus atau menggosok gigi setiap hari dan sekurang-kurangnya dua atau tiga kali sehari. Hatta, orang yang tidak bergigi (pakai gigi palsu) pun menggosok gigi masing-masing.
6. Anda tentu tertanya-tanya mengapa tiba-tiba saya mahu tahu cara anda memberus gigi, kan?
7. Saya bukanlah doktor gigi mahupun pakar gigi dan gusi. Anda juga jangan salah faham, saya bukannya hendak mempromosi atau menjual produk berus gigi atau ubat gigi.
8. Sebenarnya begini. Kalau tak silap, kira-kira setahun yang lalu, saya pernah menonton satu rancangan bual bicara pada waktu pagi di televisyen.
9. Saya tak berapa ingat stesen TV mana, tetapi yang pastinya, program itu membincangkan amalan atau tabiat berus atau gosok gigi yang betul.
10. Tetamu bual bicara tersebut merupakan seorang pakar gigi ( saya kurang pasti samada beliau adalah doktor gigi ). Namanya saya tak ingat, tetapi seorang perempuan.
11. Dalam program tersebut, saya tertarik apabila pakar tersebut menyatakan, ramai dalam kalangan orang Malaysia, tidak memberus gigi dengan teknik yang betul.
12. Menurut beliau, sebahagian besar masyarakat, memberus gigi dengan teknik atas ke bawah dan bawah ke atas.
13. Maksud beliau, memberus atas bawah, bawah atas secara berulang-ulang dan terus-terusan.
14. Anda boleh bayangkan tak?
15. Mula-mula, kita genggam berus gigi yang telah ada ubat gigi dengan sebelah tangan secara secara melintang, kita buka mulut kita, kita rapatkan dan temukan bahagian gigi atas dengan gigi bawah.
16. Selepas itu, kita letakkan berus pada berus gigi ditengah-tengah antara gigi bahagian hadapan atas dan bawah. Seterusnya kita mula menggosok, dengan menggerakkan berus gigi ke atas dan ke bawah bermula kawasan gigi hadapan (kiri dan kanan), seterusnya di bahagian sebelah dalam.
17. Kita kemudiannya meneruskan menggosok gigi di sebelah atas gigi bawah, dan di sebelah bawah gigi atas.
18.Akhir sekali, kita akan menggosok gigi sebelah dalam bahagian gigi bawah dan bahagian gigi atas kita.
19. Setelah rata, kita akan berkumur dengan air, basuh berus gigi, letakkan kembali di tempatnya dan selesai.
20. Inilah yang saya lakukan setiap hari sejak dari kecil apabila menggosok gigi.
21. Namun, saya agak terperanjat apabila pakar gigi dalam TV itu berkata cara itu salah!
22. Menurutnya, teknik menggosok sedemikian akan menyebabkan gusi semakin menipis, dan apabila gusi menipis, gigi tidak akan kukuh lagi.
23. Sambil merujuk "patung" atau "model" ( saya tak tahu istilah tepat ) gigi palsu yang besar yang selalu dilihat di klinik gigi, pakar tersebut menunjukkan mengapa gusi boleh menjadi nipis dengan menggosok secara atas-bawah -atas-bawah.
24. Katanya, berus gigi akan menolak gusi di bahagian bawah gigi terus ke bawah, dan gusi atas ke bahagian atas. Lama-kelamaan gusi akan menjadi haus dan menipis.
25. Akhirnya, bahagian akar gigi akan lebih terdedah dan tidak lagi dilindungi oleh gusi.
26. Saya terfikir sejenak, ada logiknya juga kata-kata pakar tersebut.
27. Apabila ditanya oleh hos bual-bicara tersebut, bagaimanakah cara sebenar menggosok atau memberus gigi yang betul dan sempurna, beliau menjawab kita perlu menggosok satu persatu dengan cara mencungkil dan membersihkan kotoran pada setiap bilah gigi.
28. Caranya, untuk gigi bawah, letakkan berus gigi di kawasan paling hampir dengan gusi, kemudian tolak berus gigi ke atas. Angkat berus gigi, letakkan semula di kawasan berhampiran gusi dan ulang sehingga semua gigi bawah selesai dibersihkan.
29. Untuk gigi bahagian atas pula, sama juga, letakkan berus dekat dengan gusi atas, tolak ke bawah, angkat berus gigi, ulang semula sehingga semua gigi atas selesai dibersihkan.
30. Untuk bahagian dalam pula, untuk gigi bawah, mulakan dengan meletak berus gigi di posisi bawah dekat dengan gusi, tolak ke atas, angkat berus gigi, ulang semula sehingga semua bahagian dalam digosok.
31. Gigi atas bahagian sebelah dalam pula sama seperti gigi atas bahagian hadapan.
32. Kawasan atas gigi bawah dan kawasan bawah gigi atas pula boleh digosok seperti biasa.
33. Confiuse? Pening? Tak mengapa. Baca pelahan-lahan dan fahamkan betul-betul.
35. Setelah mendengar saranan pakar gigi tersebut, saya mula terfikir dari mana saya mendapat tabiat menggosok gigi seperti sekarang (atas-bawah-atas bawah).
36. Rasanya, ketika di sekolah rendah, ada jururawat dari klinik pergigian daerah datang mengajar kami semua cara menggosok gigi sebenar. Dari situlah saya mendapat teknik menggosok seperti sekarang!
37. Namun saya tak menyalahkan jururwat tersebut. Mungkin pada masa itu, risiko menggunakan teknik memberus gigi demikian belum diketahui. Lagipun sebelum itu, saya memberus gigi dari kiri ke kanan dan kanan ke kiri. Kesannya, bahagian paling atas dan paling bawah gigi tidak digosok, hanya bahagian tengah sahaja. Lagi terukkan?
38. Selepas mendengar nasihat pakar gigi di TV itu, keesokan paginya, saya mula mencuba untuk mengubah tabiat gosok gigi saya yang biasa ini.
38. Saya cuba mengikut saranan pakar gigi tersebut dengan teknik baru yang betul.
39. Teknik baru itu sangat sukar pada mulanya. Ianya mengambil masa terlalu lama untuk menghabiskan satu sesi menggosok gigi.
40. Namun, saya keraskan hati untuk membiasakannya walaupun sangat kekok. Saya sematkan dalam hati, yang saya sayangkan gigi dan gusi saya.
41. Setelah beberapa hari, saya masih memberus seperti saranan pakar tersebut.
42. Tetapi, setelah beberapa lama, saya dapati, saya kembali ke tabiat lama ketika menggosok gigi.
43. Teknik menggosok gigi atas-bawah-atas saya rasakan lebih cepat, mudah dan menjimatkan masa.
44. Amat susah sekali untuk mengubah tabiat menggosok gigi yang telah saya amalkan bertahun-tahun lamanya.
45. Saya teringat ungkapan "Membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul".
46. Dalam konteks teknik menggosok gigi, saya mampu membetulkan yang biasa.
47. Tetapi, apabila ianya sudah betul, saya menghadapi masalah untuk menjadikannya tabiat dan kebiasaan hidup.
48. Sebenarnya banyak kebiasaan yang kita lakukan dalam hidup ini yang perlu kita perbetulkan. Ia suatu cabaran.
49. Namun, cabaran yang lebih hebat adalah menjadikan tabiat yang sudah betul itu kebiasaan dalam kehidupan di sepanjang masa. Itu yang sangat susah, sukar dan payah. Tetapi ia bukanlah mustahil jika kita betul-betul mahu mengubahnya.
50. Sama seperti memberus gigi, saya sentiasa akan berusaha untuk membetulkan yang biasa dan membiasakan apa yang telah saya betulkan. Doakan saya berjaya ya!
No comments:
Post a Comment