1. Salam semua. Bertemu lagi pada petang Jumaat yang indah ini.
2. Kali ini saya ingin berkongsi serba sedikit pandangan tentang tajuk "Lagha".
3. Saya memilih tajuk ini, kerana ia adalah tajuk khutbah Jumaat sebentar tadi.
4. Perkataan "lagha" berasal dari Bahasa Arab.
5. Dalam Bahasa Melayu, "lagha" bolehlah diterjemahkan sebagai perkara yang sia-sia. Ia termasuklah percakapan lagha, perbuatan atau tindakan lagha, dan pemikiran yang lagha.
6. Saban hari, kita biasa terpalit dengan perkara-perkara lagha ini. Antara yang paling biasa kita lakukan adalah mengucapkan pekataan-perkataan lagha dan merugikan. Contohnya, memperkatakan benda-benda tidak elok seperti, mengumpat, mencaci, memfitnah, mengadu domba dan menyebarkan keaiban orang lain.
7. Terdapat juga dalam kalangan kita yang gemar berbual tentang perkara-perkara kosong yang tidak bermanfaat dan mengungkapkan perkataan yang tidak sopan dan tidak manis didengar.
8. Dari segi perbuatan pula, kita sering melakukan perkara-perkara lagha seperti menghisap rokok, makan dan tidur secara berlebihan, membazir ketika membeli belah, suka berdebat tentang hal remeh temeh, melayari internet sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan agama serta bermacam-macam lagi.
9. Berfikir secara lagha pula termasuklah memikirkan perkara-perkara negatif seperti berfikir dan terlalu berbangga-bangga terhadap kehebatan diri sendiri, berangan-angan secara berlebihan, membaca bahan bacaan yang tidak membina minda, dan bersangka buruk terhadap orang lain.
10. Selain itu anggota tubuh badan kita juga kadang-kadang turut lagha
sehingga menjadi mata yang lagha, telinga yang lagha, lidah yang lagha,
kaki dan tangan yang lagha, otak yang lagha, lagha hati dan sebagainya.
11. Sepatutnya, nikmat pancaindera yang Allah kurniakan ini kita gunakan sebaiknya dan salah satu caranya ialah dengan menjauhi perkara-perkara lagha dan mengelakkan setiap anggota tubuh badan kita terjebak dengan sifat ini.
12.Kita haruslah menjauhi perkara-perkara yang lagha ini agar masa kita
boleh dimanfaatkan untuk perkara-perkara yang lebih berfaedah dan
menguntungkan diri sendiri, agama, bangsa dan negara.
No comments:
Post a Comment