Salam semua.
1. Ketika mula mahu menulis entri ini, cuaca di luar rumah saya sedang mendung. Langit semakin menggelap.
2. Kadang-kadang terdengar bunyi suara si guruh merengus-rengus dan sang kilat melintas-lintas sekali sekala tak ubah seperti anak-anak kecil sedang bermain berkejar-kejaran.
3. Awan masih malu-malu untuk menitiskan air yang dikandungnya. Sekejap menurunkan rintik dan sebentar kemudian dengan pantasnya ia berhenti.
4. Persis seorang gadis yang sedang sedu-sedan sedaya upaya menahan lelehan air matanya.
5. Saya masih menunggu-nunggu keputusan sang awani. Bila ia mahu menitiskan titisan mutiara jernihnya dari langit jatuh ke bumi.
6. Tiba-tiba teringat dengan madah yang selalu dikaitkan dengan hujan. Kata madah "Hujan Adalah Rahmat".
7. Benarlah hujan itu rahmat. Sekian banyak makhluk yang merindukan hujan. Kedinginannya membuat semua penduduk bumi merasa nyaman sekali.
8. Namun, hujan yang mencurah-curah tanpa henti juga boleh menggundahkan hati ramai insan.
9. Mereka yang selalu dan sedang dilanda bah tentu lebih mengerti. Mungkin mereka mengharapkan hujan segera berhenti dan tidak turun lagi setidak-tidaknya buat masa sekarang.
10. Apa pun tafsirannya, jarang berjumpa dengan orang yang tidak sukakan hujan.
11. Anak-anak kecil paling seronok dan begitu riang dan girang sekali apabila hujan turun. Dengan hanya bercawat, mereka menari-nari dalam curahan hujan. Tempikan dan teriakan ibu dan bapa sudah tidak diendahkan lagi.
11. Anak-anak kecil paling seronok dan begitu riang dan girang sekali apabila hujan turun. Dengan hanya bercawat, mereka menari-nari dalam curahan hujan. Tempikan dan teriakan ibu dan bapa sudah tidak diendahkan lagi.
12. Penoreh getah yang berpagi-pagian di kebun, para nelayan di tengah gelora samudera, hatta penunggang dan pembonceng motosikal yang membelah barisan deretan kereta di tengah kota pun sukakan hujan. Mungkin waktunya sahaja agak meresahkan.
13. Pak tani yang baru selesai melepaskan lelah mencangkul tanah menanam pohon-pohon rezeki, tentu mengharapakan hujan selalu datang menyiram untuk menambah suburkan lagi tanaman mereka. Kalau bukan setiap hari pun, selang tiga hari pun tidak mengapa.
14. Berlebih-lebih lagi dengan mereka yang sedang menderita dibahang dengan musim kemarau. Pasti hujan adalah pesta yang dinanti-nanti.
15. Begitulah hakikat hujan. Ia rahmat dan ia nikmat. Menyubur tanah-tanih, menyiram panas kemarau, dan menenangkan jiwa yang sedang resah.
16. Selalunya ia bermula dengan mendungnya awan dan diakhiri dengan dinginnya malam.
17. Saya masih menantikan hujan, kerana dibalik jendela, langit masih mendung.
No comments:
Post a Comment