Salam semua.
1. Tahu apa itu oasis? ( Bukan nama saluran TV atau band muzik ya...! )
2. Saya pasti hampir semua dari kita pernah dengar dan tahu apa itu oasis.
3. Cuma mungkin kita tak pernah melihat oasis secara lebih dekat. Saya adalah salah seorang yang masih belum berpeluang menjejakkan kaki ke kawasan beroasis. Kalau ada rezeki, insya Allah, saya ingin sekali pergi melihatnya sendiri.
4. Yang tidak tahu apa itu oasis, saya akan ceritakan serba sedikit tentangnya.
5. Oasis ataupun wahah (bahasa Melayu) adalah satu kawasan terpencil berair menyerupai tasik atau kolam air yang terdapat di kawasan gurun. Kawasan ini biasanya dikelilingi tumbuhan hijau kerana terdapat mata air atau sumber air yang jernih.
6. Wahah atau oasis sangat penting dalam konteks perdagangan dan pengangkutan bagi laluan gurun.
7. Pada zaman silam, sesebuah kabilah atau puak yang dapat menguasai oasis bermakna akan turut juga menguasai laluan perdagangan dan pengangkutan.
8. Sumber air oasis datangnya dari sumber air bawah tanah dan terbentuk secara semulajadi melalui tekanan atau pun melalui telaga-telaga kecil yang di buat oleh manusia.
9. Begitulah gambaran umum dan serba sedikit tentang oasis.
10. Saya tertarik untuk menulis tentang oasis kerana bagi saya ia sangat unik dan mengkagumkan.
11. Cuba anda semua bayangkan, di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang dan tandus, wujud pula sebuah lopak air jernih yang menjadi tumpuan para pengembara dan pedagang-pedagang. Selain itu, tumbuhan hijau dan haiwan-haiwan gurun juga bertumpu ke kawasan oasis.
12. Saya begitu teruja dengan ciptaan alam ini. Hal ini menunjukkan Allah itu Maha Adil dan Maha Bijaksana.
13. Meskipun di sekelilingnya berbahang, tandus, kering kontang, dan berpasir, boleh pula wujud takungan air semulajadi yang besar dan mencukupi pula untuk semua penghuni padang pasir bagi melepaskan haus, menyegarkan tubuh badan dan meneruskan survival hidup masing-masing.
14. Begitu jualah halnya kehidupan kita ini.
15. Kalaulah diri kita ini di ibaratkan sehampar padang pasir yang tandus dan kering, sudah tentu ada oasis yang jernih di mana-mana bahagian dalam diri ini.
16.Mungkin kita ketandusan ilmu, kering kontang dalam amalan, berbahang dengan nafsu duniawi, dan mungkin juga berpasir dengan kealpaan, kesalahan dan kesilapan.
17. Maka marilah kita berusaha mencari wahah atau oasis dalam diri kita sendiri untuk menyuburkan diri kita dengan ilmu, amal dan ganjaran pahala.
18. Setelah kita menjumpai oasis-oasis dalam diri kita, kuasailah ia, gunakannya sebaik mungkin dan berbahagilah dengan orang lain juga agar kehausan rohani dapat dilenyapkan.
19. Saya juga terus-terusan mencari oasis-oasis yang ada dalam diri saya sendiri.
20. Semoga oasis-oasis yang dijumpai nanti, dapat menyuburkan jiwa dengan pertambahan keimanan dan keilmuan dalam diri ini.
Insya Allah.
No comments:
Post a Comment