Tuesday, December 17, 2013

Merah Itu Saga


Salam semua.

1. Ini adalah kali kedua saya memilih warna "merah" untuk diselitkan dalam tajuk entri saya.

2. Sebelum ini, "merah" turut pernah menjadi tajuk tulisan saya menerusi entri "Sepasang Sepatu Merah".

3. Saya menyukai warna merah. Saya juga amat menggemari warna biru, putih, ungu, hijau dan semua warna.

4. Saya percaya, anda juga mempunyai warna-warna kegemaran masing-masing. 

5. Ingat lagi kenangan ketika di zaman sekolah rendah? Kita biasanya akan menyatakan warna kegemaran kita dalam biodata yang kita tulis di samping makanan dan minuman kesukaan. (jangan buat-buat lupa ya! He..he.)

5. Walaupun saya menyukai warna merah, ia sebenarnya tiada kaitan dengan entri yang saya ingin tulis. Mungkin hanya kebetulan sahaja.

6.  Ada satu bidalan / pantun yang saya sangat suka sejak dari sekolah menengah lagi.

7. Bidalan atau pantun itu berbunyi :

Yang kurik itu kundi, 
Yang merah itu saga, 
Yang cantik itu budi, 
Yang indah itu bahasa.


8. Sebenarnya saya tidak berapa pasti, adakah kata-kata di atas bidalan atau pantun. Susunan katanya seperti pantun, tetapi lenggok bahasa dan nasihat yang mahu disampaikan seperti kata bidalan.

9. Mungkin saya akan mencari maklumat terperinci mengenainya (pantun atau bidalan atau peribahasa?) selepas ini.

10.  Baiklah. Sehingga saya menjumpai jawapannya, saya akan menulisnya sebagai bidalan. Ok?

11. Berbalik kepada bidalan di atas, mengapa saya amat menyukainya?

12. Saya tertarik kerana nasihat yang ingin disampaikan menerusi bidalan tersebut amat benar, mudah, ringkas, indah, klasik dan sangat puitis.

13. Ia amat benar kerana sememangnya yang cantik itu budi. 

14. Selalunya kita suka dengan wajah yang cantik. Contoh yang paling lazim, lelaki sukakan gadis yang cantik, manakala si gadis pula tertarik dengan lelaki yang kacak.

15. Itu adalah adat dan lumrah kehidupan. Tiada yang anehnya. Tidak juga salah.

16. Tetapi, kata orang, kecantikan sebenar seseorang terletak pada budinya. Apalah gunanya mempunyai seraut wajah yang manis dan cantik bak bidadari jika kurang atau langsung tiada budi bahasanya.

17.Sebab itu, bidalan ini diakhiri dengan kata-kata " Yang indah itu bahasa"

18. Kadang terdapat juga orang yang cantik budinya tetapi agak "jelak" bahasanya.

19. Apa maksud "jelak" bahasa? Dan, adakah wujud orang yang baik budinya tetapi tidak elok pada bahasanya?

20. Orang yang jelak bahasanya ada di sekeliling kita. Cuba kita lihat rakan-rakan dan orang yang kita kenali.

21. Ada yang sopan santun perlakuannya, tetapi apabila mula berbicara, patah perkataan yang digunakan amat "memeranjatkan" kita.

22. Bercakap kasar, kotor, kesat, suka berbohong, mengumpat, menyindir, mencaci, menjatuhkan air muka orang lain dan sehingga tahap memfitnah.

23. Ada orang yang sangat sopan penampilannya, suka melakukan kebaikan dan membantu orang lain, tetapi apabila berbahasa, amat kontra sekali dengan imej budi baik yang ditonjolkan.

24. Dalam era ledakan teknologi maklumat hari ini, kita melihat semakin ramai yang melupakan tentang keindahan bahasa yang patut dipertahankan di samping budi yang halus.

25. Kalau kita rajin menjengah ke laman-laman media sosial, cubalah sesekali kita perhatikan gaya bahasa yang sering digunakan oleh para pelayarnya.

26. Walaupun bukan semua, tetapi semakin ramai pengguna media sosial yang tidak menghiraukan bahasa yang mereka gunakan seperti menulis kata-kata kesat, cacian, dan kutukan sehingga mencalar budi perkerti sendiri.

27. Tidak kurang juga ada yang merosakkan bahasa dengan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak sesuai ditulis dan dibaca.

28. Bukanlah saya bermaksud kita kena menulis bahasa berbunga-bunga dan berpantun-pantun ketika di laman sosial, tetapi cukuplah dengan tidak menaip perkataan-perkataan seperti "giteww, sumer, giler, dier dan lain-lain yang merimaskan dan menggeli-gelemankan.

29. Saya tidak berniat untuk menjadi "polis bahasa", tetapi, rasa terpanggil untuk berkongsi sedikit sebanyak pandangan mengenai fenomena ini.

30. Rasanya, kurang sesuai jika imej kita di alam realiti dilihat sebagai sangat bersopan-santun dan berbudi bahasa tetapi apabila berada di alam maya, personaliti kita berpusing 360 darjah.

31. Biarlah sikap budiman dan berbudi bahasa menjadi imej kita samada di alam realiti atau pun maya, bukan untuk dipuji atau menunjuk-nunjuk tetapi sebagai personaliti yang lahir secara ikhlas dan datang dari hati nurani sebenar.

32. Kita selalu dengar kata-kata yang menyebut bahawa  "Bahasa Jiwa Bangsa". Manakala "budi yang baik dibawa ke mati".

33. Bangsa yang punyai jiwa, halus tutur katanya, lemah-lembut dan luhur budi perkertinya.

34.  Saga selalu merah warnanya.

35. Kita pula? Selalulah menjadi yang paling indah bahasanya!

No comments:

Post a Comment