Monday, December 9, 2013

Mengenang Budi

Salam semua.

1. Dalam menjalani kehidupan seharian,  kita semua pasti pernah menerima bantuan dari orang lain.

2. Bantuan-bantuan yang kita terima terdapat dalam pelbagai bentuk, rupa dan keadaan.

3. Selalunya, kita menerima bantuan dalam keadaan kita susah dan kadang-kadang orang membantu kita ketika kita senang. Ada bantuan yang kita terima dari orang yang hampir dengan kita dan ada juga bantuan dari orang yang jauh dengan kita.

4. Terdapat juga situasi dimana kita tidak kenal pun siapa yang tiba-tiba muncul membantu kita. Kekadang ada yang hanya menolong setelah kita minta dan ada juga menolak permintaan kita apabila kita dambakan bantuan.

5. Ada yang ikhlas membantu kita dan kita dapat rasa keikhlasannya itu. Tak kurang juga yang menolong kita dalam keterpaksaan dan ketidakrelaan bercampur  ketidakikhlasan. Ada udang disebalik batu. Kita boleh merasai semuanya.

6.  Kita juga mungkin boleh mengingat dengan jelas wajah-wajah orang yang pernah membantu kita, dan sesetengah dari mereka kita lupa.

7. Terfikirkah kita, mungkin ada orang yang kita tidak pernah sedar dan tahu pun pernah membantu kita di belakang kita?

8. Mungkin juga ada orang yang begitu kepingin sekali membantu kita tetapi mereka tak berdaya lalu mereka gantikan bantuan mereka dalam bentuk lain. Mungkin dengan meminta orang lain yang lebih berkemampuan membantu kita atau hanya melayangkan sekeping doa mohon kita dibantu olehNya.

9. Ada yang membantu kita secara langsung. Ada yang membantu kita dengan cara tidak membantu kita.

10. Pelbagai rupa, aneka cara, bermacam tujuan. Apa pun rupanya, caranya, situasinya, tujuannya dan siapa pun orangnya, adakah kita pernah, telah dan sempat berterima kasih kepada mereka yang membantu kita?

11. Kadang-kadang kita terlupa mengucapkan terima kasih bukan kerana kita tidak menghargai setiap bantuan yang dihulur, mungkin kerana kita tidak sempat mengucapkannya, atau pun kita tidak berpeluang bertemu dan bersemuka dengan orang yang telah menabur budi kepada kita.

12. Tak semua dari mereka yang pernah membantu kita mengharapkan balasan dan ucapan terima kasih dari kita. Cukuplah sekadar kita mengenang budi mereka sepanjang hayat.

13. Ada ungkapan yang mengatakan "Tulislah jasa-jasamu di pepasir pantai, agar ia hilang dibawa ombak"

14. Setelah sekian ramai insan-insan  yang membantu kita, apakah yang patut kita lakukan selain daripada mengenang jasa-jasa mereka?

15. Mengapa tidak pula kita berusaha menabur budi kepada orang lain dan  menulisnya di pepasir pesisir pantai?

No comments:

Post a Comment