Wednesday, December 11, 2013

Sehari Selembar Benang


Salam semua.

1. Saya teringatkan satu ungkapan peribahasa lama yang berbunyi, " Sehari selembar benang, lama-lama menjadi segulung kain".

2. Peribahasa ini hampir sama maksudnya dengan satu lagi ungkapan, "Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit".

3. Dalam Islam pula, ada satu ungkapan yang seakan hampir sama maksudnya iaitu, "Sebaik-baik amalan adalah yang sedikit tetapi berterusan".

4. Sebagai manusia, kita sememangnya kalau boleh ingin semua perkara berlaku dengan pantas dan segera serta dalam sekelip mata sahaja.

5. Kita mahu, kalau boleh apa yang kita tanam hari ini akan tumbuh pada keesokan harinya, mula berbuah pada hari lusanya dan buahnya boleh dimakan pada hari berikutnya.

6. Bagi para peniaga pula, alangkah seronoknya jika modal yang dilabur pada sebelah petang hari ini, labanya boleh dikaut setelah fajar menyinsing pada keesokan paginya.

7. Mereka yang sedang berdiet (akibat lemak yang melilit pinggang) pula, pastinya mahu diet mereka berkesan dalam masa hanya tiga hari sahaja. 

8.  Kan bagus kalau hari ini kita menabung seringgit, esoknya apabila kita periksa tabung kita, ianya dah jadi seratus ribu malah sejuta ringgit! Wow! Mesti best kan?

9. Itulah fitrah manusia. Dan fitrah alamiah.

10. Fitrah manusia, kalau boleh, segala kebaikan dan keuntungan dapat diraih dengan sekelip mata, tanpa perlu bersusah payah berusaha dan menghabiskan banyak masa untuk menunggu da menanti hasilnya.

11. Namun fitrah alamiah pula tidak begitu. Fitrah alamiah selalunya menuntut kesabaran dan konsistensi usaha tanpa mengenal jemu dan putus asa. Kadang-kadang terselit penderitaan yang memeritkan sebelum meraih apa yang diimpikan.

12. .Konsistensi atau istilah agamanya, "istiqomah" sebenarnya adalah salah satu anak kunci penting dalam meraih kejayaan dalam hidup.

13. Orang yang bijak mengatur strategi dalam hidup biasanya tidak terlalu sangat melihat kepada kuantiti atau berapa banyak yang telah dilakukan tetapi melihat berapa kerap ia dilakukan walaupun perlakuannya itu cuma sedikit. 

14. Contohnya, menabung RM 50 setiap bulan, tanpa pernah tertinggal walau satu bulan pun di dalam skim Amanah Saham yang dijamin kerajaan adalah lebih baik dari menabung atau melabur RM 10 000 sekaligus dan kemudiannya tidak ditambah-tambah tabungan dan pelaburan itu sampai bila-bila.

15. Sama jugalah halnya jika kita menghafal sepatah perkataan Bahasa Inggeris berserta maksud dalam Bahasa Melayunya setiap hari dan kita lakukannya dengan konsisten, tentu dalam masa beberapa tahun sahaja, kita akan dapat menguasai bahasa tersebut dengan baik dan mahir.

16. Dari sudut agama pula, andainya kita dapat menghafal sebaris atau satu ayat Al-Qur'an setiap hari, dan kita tetap melakukannya tanpa pernah tertinggal suatu hari pun, maka tidak susah untuk kita menghafal seluruh mashaf dalam beberapa tahun sahaja.

17.  Selalunya, konsistensi kita diuji dan digoda dengan sikap tidak sabar dan kepayahan hidup.Misalnya, kita mudah rambang mata apabila melihat wang tabungan dan pelaburan kita bertambah banyak, dan dengan rasa tidak sabarnya, kita mengeluarkan sebahagian besar atau keseluruhannya untuk dibelanjakan walaupun perbelanjaan itu tidaklah mustahak sangat pun.

18. Kita juga mudah diuji dengan sikap mudah putus asa dan tidak yakin dengan diri dan hasil yang akan tuai kelak.

19. Kita rasakan, hasil yang kita impikan itu terlalu lama untuk dinanti dan terlalu jauh untuk digapai.

20. Semua ini adalah rintangan dan cabaran-cabaran yang lumrah untuk menjadi seorang yang konsisten.

21. Hanya mereka yang teguh pendirian dan penuh keyakinan akan menuai hasil yang lumayan walaupun terpaksa sabar menunggu dengan lama.

22. Ambil sahaja negara kita Malaysia sebagai contoh. Dahulunya, ketika mula-mula mencapai kemerdekaan, negara kita adalah sebuah negara mundur, miskin dan hanya berasaskan pertanian dan perlombongan hasil bumi sahaja sebagai sumber pendapatan.

23. Namun, berkat konsistensi dan usaha berterusan pemimpin dan rakyat dalam memastikan pembangunan negara terus berkembang, hasilnya pada hari ini, negara kita dikenali dunia antara negara termaju dalam kalangan negara membangun. Alhamdulillah.

24. Tidak lama lagi, insyaAllah, dalam tahun 2020, negara kita akan menjadi negara maju berpendapatan tinggi selaras impian kita semua.

25. Tiada yang mustahil jika kita rajin dan konsisten. Benarlah kata pepatah, "Sehari selembar benang, lama-lama menjadi segulung kain"


No comments:

Post a Comment