Salam semua
1. Anda suka bunga?
2. Kalau anda seorang "cik" atau "puan", ataupun "datin" tak kiralah ada "sri" ke tak, saya rasa pasti anda suka bunga. Kalau tak semua pun, mungkin lebih daripada 90% dari wanita pasti sukakan bunga.
3. Macam saya yang berstatus "encik" ( pernah berangan-angan nak dapat title "datuk seri", hehe..) ni, suka jugak bunga tapi sekadar suka je la. Taklah sampai nak pakai baju pun berbunga-bunga.
4. Bunga biasanya dikaitkan dengan wanita dan sifat feminisme. Sebabnya, majoriti lelaki lebih sukakan corak-corak yang lebih "ganas", cool, dan berlatar warna hitam!
5. Dulu-dulu, zaman saya bersekolah, seolah-olah semacam ada satu peraturan dalam penentuan warna dan corak. Maksud saya, contohnya kalau warna pink (merah jambu) dan corak bunga-bunga, itu adalah "hak mutlak" budak perempuan.
6. Kalau ada lelaki yang gunakan warna pink atau corak bunga-bunga pada beg sekolah ke, pencil box ke, atau apa saja, maka dia ( budak lelaki itu ) akan di"bahankan" (rasanya anda semua tahu apa itu di"bahankan" kan?) oleh pelajar lelaki lain.
7. Tapi, itu dulu la. Zaman saya bersekolah. Zaman sekarang ni, semacam orang dah tak berapa nak kisah dah.
8. Buktinya, kalau kita lihat sekeliling kita, ada je orang lelaki yang pakai baju pink ala-ala kumpulan Jambu Maharaja Lawak Mega. Ramai juga lelaki yang mengenakan baju bercorak bunga.
9. Mungkin masyarakat hari ini semakin matang dan terbuka. Tidak ada salahnya pun pink dan corak bunga-bunga digayakan oleh lelaki tak kira lah samada pakaian ke, kereta ke, atau apa-apa saja.
10. Sesetengah pihak, mungkin masih ada persepsi negatif, tetapi majoritinya dah tak ambil port sangat pun. Benda remeh je pun.
11.Berbalik kepada bunga. Ada macam-macam benda dikaitkan dengan bunga.
12. Contohnya dalam pinjaman atau loan secara konvensional, ada caj yang dipanggil "bunga". Kalau anda pinjam 100,000 dari bank secara konvensional misalnya, anda perlu bayar dengan jumlah sebanyak itu juga di tambah dengan caj mengikut "persen" yang ditetapkan.
13. Caj tambahan sekian-sekian "persen" itulah bunga.
14. Dalam Islam ia dipanggil riba'. Ia adalah haram sama sekali. Buatlah pinjaman secara Islamik. Kalau tak salah saya, kebanyakan bank ada menyediakan pinjaman secara Islam.
15. Ayat-ayat yang penuh puitis, berlapik-lapik, berbahasa-bahasa selalunya dipanggil "ayat atau bahasa berbunga-bunga".
16. Bahasa atau ayat berbunga-bunga ini memang sedap didengar atau di baca. Ia menggunakan bahasa laras tinggi dan mempunyai maksud yang mendalam. Maksudnya sukar ditangkap.
17. Pembaca atau pendengar perlu berfikir secara mendalam untuk mentafsirkan makna tepat ayat "berbunga-bunga" ni. Kalau tidak, dikhuatiri lain yang difahami.
18. Sebagai contoh, sepasang kekasih yang sedang asyik lamunan cintanya, akan mengungkapkan kata-kata seperti "...ambillah kapak, belahlah dadaku". Inilah contoh ayat berbunga-bunga.
19. Kalau silap faham, mungkin ada yang di"kapak"kan. Walhal, ia cuma nak maksudkan, betapa dalamnya cinta pasangan kekasih itu sehingga di dalam dadanya, tidak ada nama atau orang lain selain nama dan wajah sang kekasihnya itu sahaja!
20. Ada juga gelaran "mat bunga". Ini khusus untuk lelaki yang dilihat agak "jiwang" atau yang suka bermadah-madah cinta atau berkelakuan romantik tak kena tempat. Silap-silap, boleh buat orang lain termuntah.
21. Kita biasa dengar istilah "menyunting bunga di taman" kan? Itu ayat zaman dulu-dulu dalam tradisi merisik. Kenapa bunga? Wanita kan biasanya diumpamakan dengan bunga, lelaki pula kumbang. Kumbang? Ish...ish..ish...
22. Selain itu, ada juga istilah bunga api, bunga tayar, hati berbunga, Kicap Cap Bunga, Bunga-Bunga Cinta dan Bunga Cinta Lestari!
23. Hehe...jangan ambil serius sangat. Dua yang terakhir tu, tajuk lagu dan yang satu lagi tu nama salah seorang penyanyi dari seberang. Kicap Cap Bunga? Jenama kicap yang keluarga saya guna sejak saya kecil lagi.
24. Walau apa pun, bagi saya, bunga adalah satu ciptaan Maha Hebat dan anugerah Allah pada kita.
25. Tanpa bunga, bumi ini pasti tiada serinya. Bunga yang bermacam-macam jenis, berwarna warni dan harum mencantikkan lagi alam maya yang memang sudah sedia cantik ini.
26. Ia manis dan dihinggapi oleh rama-rama dan sang lebah. Maka terhasillah madu.
27. Nyatalah bunga bukan sahaja cantik, berwarna-warni dan harum sahaja, malah menjadikan dunia ini "manis"!.
28. Saya tak dapat bayangkan dunia tanpa bunga. Ibarat, sang teruna yang akan kesepian tanpa ada dara yang menemani disisinya.
29. Dek kerana kehebatan bunga itulah, kita lihat adanya bunga plastik sebagai menifestasi kekaguman manusia terhadap bunga.
30. Tapi manakan sama bunga asli ditaman dengan yang plastik.
31. Bunga plastik, meski ia cantik di pandang, ia tiada keharuman, kemanisan, kelembutan, pesona dan ia tidak juga dihinggapi rerama mahupun kumbang.
32. Ia kaku dan keras. Mekarnya tidak dipetik orang.
33. Di atas meja tempat saya menaip ini, ada sejambak bunga palastik berwarna putih yang disusun rapi dalam sebuah pasu. "Daun" pun ada (plastik jugalah )
34. Ia hiasan yang cantik. Saya sukakannya walaupun ia hanyalah plastik yang terus-terusan mekar tanpa henti.
35. Oh...alangkah inginnya saya memetik sekuntum bunga itu dan mencium semerbak wangiannya. Tapi apakan daya, ia hanyalah sejambak bunga plastik berwarna putih!