Friday, December 26, 2014

Hujan Itu Dingin

As - Salam.


1. Ketika jari ini sedang melompat-melompat di papan kekunci komputer riba, hujan turun dengan lebat di luar rumah.

2. Meski hujan turun di waktu tengahari, namun kedinginannya begitu di rasai persis di malam hari.

3. Begitulah sifatnya hujan. Ia turun membawa kedinginan yang sungguh menyelesakan.

4. Kadangkala, ia begitu dinanti dan didambakan. Seluruh alam seakan berteriak gembira bila turunnya hujan.

5. Tumbuhan, haiwan dan insan. Riang mereka seolah bertahun tak hujan. 

6. Panas membahang yang membakar setahun lamanya dapat dilupa hanya dengan suara beberapa titisan renyai di bumi.

7. Kedinginannya sepertinya menyimbah keterikan sang kemarau semusim lalu.

8. Hujan memang mendinginkan. Juga  amat menyamankan.

9. Namun, tahun ini nampaknya sedikit berlainan. Hujan tidaklah membawa kedinginan yang dimimpikan. 

10. Tahun ini, hujan seperti membawa amarah yang sudah lama terpendam.

11. Entah mengapa, hujan kali ini begitu beremosi menyimbahkan titisannya. Melimpah ruah dari pantai timur hingga ke utara.

12. Luar biasa sekali tampaknya si hujan kali ini.

13 Adakah ia memendam rasa begitu lama terhadap duniawi sehingga tidak henti-henti memercikkan renyainya?

14. Adakah kerana ia sudah jemu membawa kedinginan sehingga berubah menjadi suatu bencana yang menakutkan?

15. Wahai hujan, redalah dikau seketika. Jadilah pendingin yang menggembirakan seperti yang selalu engkau lakukan.

16. Bawalah kegembiraan kepada kami seperti waktu lalu.

17. Seharusnya titisannmu membawa pergi kegelisan kami.

18. Kami begitu sedih dan takut melihatmu turun membentak-bentak bumi tanpa henti.

19. Kami begitu rindu dengan nyaman dan dinginmu seperti selalu.

20. Kembalilah. Hujan itu harus dingin.

Sunday, December 29, 2013

Sejambak Bunga Plastik Berwarna Putih



Salam semua

1. Anda suka bunga? 

2. Kalau anda seorang "cik" atau "puan", ataupun "datin" tak kiralah ada "sri" ke tak, saya rasa pasti anda suka bunga. Kalau tak semua pun, mungkin lebih daripada 90% dari wanita pasti sukakan bunga.

3. Macam saya yang berstatus "encik" ( pernah berangan-angan nak dapat title "datuk seri", hehe..) ni, suka jugak bunga tapi sekadar suka je la. Taklah sampai nak pakai baju pun berbunga-bunga.

4. Bunga biasanya dikaitkan dengan wanita dan sifat feminisme. Sebabnya, majoriti lelaki lebih sukakan corak-corak yang lebih "ganas", cool, dan berlatar warna hitam!

5. Dulu-dulu, zaman saya bersekolah, seolah-olah semacam ada satu peraturan dalam penentuan warna dan corak. Maksud saya, contohnya kalau warna pink (merah jambu) dan corak bunga-bunga, itu adalah "hak mutlak" budak perempuan. 

6. Kalau ada lelaki yang gunakan warna pink atau corak bunga-bunga pada beg sekolah ke, pencil box ke, atau apa saja, maka dia ( budak lelaki itu ) akan di"bahankan" (rasanya anda semua tahu apa itu di"bahankan" kan?) oleh pelajar lelaki lain.

7. Tapi, itu dulu la. Zaman saya bersekolah. Zaman sekarang ni, semacam orang dah tak berapa nak kisah dah.

8. Buktinya, kalau kita lihat sekeliling kita, ada je orang lelaki yang pakai baju pink ala-ala kumpulan Jambu Maharaja Lawak Mega. Ramai juga lelaki yang mengenakan baju bercorak bunga.

9. Mungkin masyarakat hari ini semakin matang dan terbuka. Tidak ada salahnya pun pink dan corak bunga-bunga digayakan oleh lelaki tak kira lah samada pakaian ke, kereta ke, atau apa-apa saja.

10. Sesetengah pihak, mungkin masih ada persepsi negatif, tetapi majoritinya dah tak ambil port sangat pun. Benda remeh je pun.

11.Berbalik kepada bunga. Ada macam-macam benda dikaitkan dengan bunga.

12. Contohnya dalam pinjaman atau loan secara konvensional, ada caj yang dipanggil "bunga". Kalau anda pinjam 100,000 dari bank secara konvensional misalnya, anda perlu bayar dengan jumlah sebanyak itu juga di tambah dengan caj mengikut "persen" yang ditetapkan. 

13. Caj tambahan sekian-sekian "persen" itulah bunga.

14. Dalam Islam ia dipanggil riba'. Ia adalah haram sama sekali.  Buatlah pinjaman secara Islamik. Kalau tak salah saya, kebanyakan bank ada menyediakan pinjaman secara Islam.

15. Ayat-ayat yang penuh puitis, berlapik-lapik, berbahasa-bahasa selalunya dipanggil "ayat atau bahasa berbunga-bunga".

16. Bahasa atau ayat berbunga-bunga ini memang sedap didengar atau di baca. Ia menggunakan bahasa laras tinggi dan mempunyai maksud yang mendalam. Maksudnya sukar ditangkap.

17. Pembaca atau pendengar perlu berfikir secara mendalam untuk mentafsirkan makna tepat ayat "berbunga-bunga" ni. Kalau tidak, dikhuatiri lain yang difahami.

18. Sebagai contoh, sepasang kekasih yang sedang asyik lamunan cintanya, akan mengungkapkan kata-kata seperti "...ambillah kapak, belahlah dadaku". Inilah contoh ayat berbunga-bunga. 

19. Kalau silap faham, mungkin ada yang di"kapak"kan. Walhal, ia cuma nak maksudkan, betapa dalamnya cinta pasangan kekasih itu sehingga di dalam dadanya, tidak ada nama atau orang lain selain nama dan wajah sang kekasihnya itu sahaja!

20. Ada juga gelaran "mat bunga". Ini khusus untuk lelaki yang dilihat agak "jiwang" atau yang suka bermadah-madah cinta atau berkelakuan romantik tak kena tempat. Silap-silap, boleh buat orang lain termuntah.

21. Kita biasa dengar istilah "menyunting bunga di taman" kan? Itu ayat zaman dulu-dulu dalam tradisi merisik. Kenapa bunga? Wanita kan biasanya diumpamakan dengan bunga, lelaki pula kumbang. Kumbang? Ish...ish..ish...

22. Selain itu, ada juga istilah bunga api, bunga tayar, hati berbunga, Kicap Cap Bunga, Bunga-Bunga Cinta dan Bunga Cinta Lestari!

23. Hehe...jangan ambil serius sangat. Dua yang terakhir tu, tajuk lagu dan yang satu lagi tu nama salah seorang penyanyi dari seberang. Kicap Cap Bunga? Jenama kicap yang keluarga saya guna sejak saya kecil lagi.

24. Walau apa pun, bagi saya, bunga adalah satu ciptaan Maha Hebat dan anugerah Allah pada kita.

25. Tanpa bunga, bumi ini pasti tiada serinya. Bunga yang bermacam-macam jenis, berwarna warni dan harum mencantikkan lagi alam maya yang memang sudah sedia cantik ini.

26. Ia manis dan dihinggapi oleh rama-rama dan sang lebah. Maka terhasillah madu. 

27. Nyatalah bunga bukan sahaja cantik, berwarna-warni dan harum sahaja, malah menjadikan dunia ini "manis"!.

28. Saya tak dapat bayangkan dunia tanpa bunga. Ibarat, sang teruna yang akan kesepian tanpa ada dara yang menemani disisinya.

29. Dek kerana kehebatan bunga itulah, kita lihat adanya bunga plastik sebagai menifestasi kekaguman manusia terhadap bunga.

30. Tapi manakan sama bunga asli ditaman dengan yang plastik.

31. Bunga plastik, meski ia cantik di pandang, ia tiada keharuman, kemanisan, kelembutan, pesona  dan ia tidak juga dihinggapi rerama mahupun kumbang.

32. Ia kaku dan keras. Mekarnya tidak dipetik orang.

33. Di atas meja tempat saya menaip ini, ada sejambak bunga palastik berwarna putih yang disusun rapi dalam sebuah pasu. "Daun" pun ada  (plastik jugalah )

34. Ia hiasan yang cantik. Saya sukakannya walaupun ia hanyalah plastik yang terus-terusan mekar tanpa henti.

35. Oh...alangkah inginnya saya memetik sekuntum bunga itu dan mencium semerbak wangiannya. Tapi apakan daya, ia hanyalah sejambak bunga plastik berwarna putih!

 

Thursday, December 26, 2013

Oksigen Oh Oksigen !



Salam semua.

1. Semalam, ketika menonton siaran berita di televisyen, saya tertarik dengan paparan petikan ucapan yang disampaikan oleh Yang Amat Berhormat ( Y.A.B ) Perdana Menteri Malaysia kita, Dato' Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak.

2. PM semalam hadir ke satu majlis keraian rasmi di Pulau Pinang yang turut dihadiri oleh ribuan rakyat Malaysia pelbagai bangsa dan agama.

3. Dalam ucapannya, beliau menekankan tentang kepentingan untuk menghargai, menyayangi dan mempertahankan keamanan, kemakmuran, keharmonian, kestabilan dan perpaduan dalam kalangan rakyat dalam negara yang berbilang agama dan bangsa seperti di Malaysia.

4. Apa yang menarik perhatian saya adalah apabila Dato' Seri Najib membuat analogi dengan mengambil contoh oksigen di sekeliling kita.

5. Katanya, dalam keadaan biasa, kita tidak dapat melihat dan merasai kehadiran oksigen. Tetapi ia tetap wujud. Kita tidak pernah ambil peduli pun.

6. Hanyalah apabila oksigen tiada, walaupun dalam beberapa saat sahaja, barulah kita akan menjadi kelam kabut dan menggelabah akibat sesak pernafasan kita. 

7. Ketika itu, kita akan meronta-ronta untuk mencari-cari untuk mendapatkan oksigen semula. Kita tahu, kalau kita terlambat, nyawa kita dalam bahaya. 

8.  Begitulah juga hakikat nikmat keamanan dan keharmonian yang sedang kita kecapi di negara ini. Kita mungkin tidak merasa apa-apa, tidak juga kita menghargainya kerana kita merasakan ianya ( keamanan dan keharmonian ) wujud secara semula jadi dan akan kekal selama-lamanya.

9. Namun, kita perlu sedar, yang nikmat kestabilan negara dan ketenteraman boleh hilang dalam sekelip mata sahaja.

10. Sekali nikmat itu hilang, kesan buruknya amat besar sekali dan mungkin sukar untuk mendapatkannya kembali. Sudah terlau banyak contoh yang berlaku dan kita saksikan di negara-negara luar.

11. Saya tidak mahu menghuraikan mengenai kepentingan keamanan dan kestabilan dalam negara dengan lebih lanjut. 

12. Saya pasti kita semua tahu dan sedar akan hakikatnya kerana rata-rata rakyat Malaysia mampu berfikir dengan waras di samping ianya telah diulang-ulang banyak kali samada oleh para pemimpin dan tokoh-tokoh lain.

13.  Saya cuma ingin menyatakan rasa keterujaan saya apabila PM mengambil menggunakan "oksigen" sebagai contoh analoginya.

14. Saya yakin, kita semua tahu dan pernah belajar tentang oksigen ketika di bangku sekolah.

15. "Oksigen" ( atau oxygen dalam Bahasa Inggeris ) telah ditemui oleh Carl Wilhelm Scheele di Upsalla pada thun 1773 atau sebelumnya. Bagaimanapun, seorang lagi saintis bernama Joseph Priestly lebih diberi keutamaan memandangkan hasil kajiannya tentang oksigen telah diterbitkan terlebih dahulu.

16. Oksigen adalah unsur kimia yang disimbolkan dengan O dan nombor atomnya ialah 8 ( dengan susunan atomnya ialah 2.6). Dalam Jadual Berkala Unsur ( Periodic Table ), oksigen berada dalam kumpulan 16. Oksigen adalah unsur bukan logam yang mempunyai kadar reaktiviti tinggi disampimg merupakan agen pengoksidaan.

17. Selain itu, oksigen adalah unsur ketiga yang paling banyak didapati di bumi selepas hidrogen dan helium.                                                                                                                                                                                                   

18. Pada suhu dan tekanan yang standard (STP), dua atom oksigen akan bergabung dan membentuk dioksigen -sejenis dwiatom yang tidak berwarna, tidak mempunyai bau ataupun rasa dengan formula kimianya O2 ( 2 kecil dibawah O ).

19. Oksigen amat penting dalam kehidupan. Manusia dan hidupan-hidupan lain memerlukan oksigen untuk bernafas dan melakukan proses respirasi.

20. Tumbuhan membekalkan oksigen kepada hidupan-hidupan ini dengan membebaskannya setelah menjalani proses fotosintesis.

21.  Tidakkah kita semua terfikir, betapa "objek" yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tidak berbau, tidak mempunyai sebarang "perisa", dan tidak dapat dipegang atau disentuh dengan tangan ini sebenarnya amat besar kegunaannya kepada manusia dan hidupan-hidupan lain.

22. Kita mungkin tidak sedar, tetapi, jikalah usia kita menjangkau 80 tahun atau lebih, maka selama itulah sebenarnya kita telah menggunakan oksigen.

23. Setiap detik dan setiap saat, kita menggunakannya samada kita berjaga, tidur, makan, dalam keaadaan aktif atau pasif, hidung kita tidak henti-henti menyedut oksigen dan ianya percuma!

24. Sama seperti oksigen, nikmat keamanan, keharmonian, kestabilan dan perpaduan dalam negara kita juga tidak mempunyai bau, bentuk fizikal yang nyata yang boleh dilihat. Ia cuma dapat dirasai dan dinikmati.

25. Setiap "perkara" ada harganya. "Harga" bagi keamanan dan kestabilan negara adalah dengan menghargai, mensyukuri dan mempertahankannya.

26. Oksigen! Oh ya.Bagi saya "harga" bagi oksigen pula tetap sama iaitu bersyukur pada yang Esa, sentiasa melakukan ibadah padaNya, meninggalkan segala larangan Tuhan, disamping menghargai kehidupan yang dikurniaknan Allah S.W.T.

27. Cuma itu sahajakah?

28.Oh tidak..masih ada caj tambahan untuk oksigen.

29. Caj tambahan? Nak tahu apa? Baca ayat terakhir di bawah ini.

30 Jalanilah kehidupan ini dengan sebaik-baiknya dan jangan lupa untuk menyumbang sesuatu yang hebat kembali kepada dunia!



Wednesday, December 25, 2013

Di Hujung Jari



Salam semua.

1. Hari ini, istilah " di hujung jari " begitu popular.

2. Ia sebenarnya merujuk kepada kepantasan mendapatkan maklumat dan melakukan urusan harian. Sudah tentulah ianya berkaitan dengan penggunaan jaringan internet yang sangat meluas.

3. Di Malaysia misalnya, penggunaan internet dalam kalangan rakyat perlahan-lahan "menyusup" masuk kira-kira 15 ke 16 tahun yang lalu iaitu sekitar lewat 90an.

4. Saya masih ingat, sewaktu masih kanak-kanak, ketika sedang menonton televisyen, selalu dimainkan dan ditayangkan klip lagu " Sayangi IT " ( mungkin tajuknya kurang tepat kerana saya kurang pasti ).

5. Klip lagu ini biasanya ditayangkan sebelum siaran berita 8 malam. Saya masih ingat, ada beberapa orang penyanyi yang menyanyikannya dan salah seorang daripadanya adalah penyanyi remaja yang sedang meningkat naik pada masa itu, siapa lagi kalau bukan Siti Nurhaliza!

6. Ada beberapa baris liriknya yang masih saya ingat. Ianya adalah seperti berikut:

"...
Sayang I.T, 
Kenal I.T, 
Cinta I.T , 
Guna I.T, 
I.T "


7. Haha. Itu saja liriknya yang masih saya ingat. Lagunya sedap juga. Liriknya mudah dan "simple" dan agak "catchy".

8. Apa yang nak disampaikan menerusi lagu itu adalah kepentingan rakyat Malaysia untuk mengenali, mempelajari, menyukai dan menggunakan IT.

9. Pada waktu itu saya tidak tahupun apa itu I.T.

10. Yang saya tahu, IT itu adalah singkatan bagi "Information Technology" atau dalam Bahasa Melayunya, adalah "Teknologi Maklumat". Lebih dari itu, saya tak tahu.

11. Istilah-istilah seperti "internet", "browser", "multimedia" dan entah apa lagi amat asing bagi saya dan sangat jauh rasanya seperti jauhnya cakerawala dari bumi.

12. Pada masa itu, saya tak pernah terfikir pun yang pada suatu masa nanti, saya akan rasa "tidak tenteram" dan seperti hidup di dalam gua jika satu hari tidak melayari internet.

13. Ketika itu, saya agak asing dengan komputer. "Takut" rasanya nak dekat dengan komputer sebab saya tak pernah ada komputer dan tak tahu pun cara nak menggunakannya.

14. Masih segar dalam ingatan, betapa kagumnya saya terhadap seorang rakan sekolah rendah, yang menceritakan pada saya, yang dia bermain chess (catur) melawan komputer, dan dalam perlawanan itu, dia pernah mengalahkan komputer! Wow!

15. "Ketakutan" saya terhadap komputer sedikit demi sedikit hilang apabila arwah bapa saya menghantar saya ke kelas komputer untuk belajar tentang "mesin ajaib" itu.

16. Ketika itu saya sedang menunggu keputusan SPM, dan arwah bapa saya sanggup mengeluarkan sejumlah wang yang banyak ( lebih RM 300 ) untuk membayar yurannya. Pengendali kelas itu merangkap cikgu komputer , saya masih ingat adalah seorang lelaki India bernama Encik Ravi. Beliau sangat peramah dan baik orangnya.

17. Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pengorbanan arwah bapa saya. Rasa nak menitis pula air mata ni apabila mengenangkannya kembali.

18. Kini, apabila sudah dewasa, saya tersenyum dan rasa nak tertawa sendiri kerana yuran ratusan ringgit kelas komputer itu hanyalah unuk belajar tentang Microsoft (MS) Word, MS PowerPoint, MS Excell, serba sedikit tentang internet dan beberapa perkara lagi.

19. Saya rasa, kalau tak pergi ke kelas pun tak mengapa kerana ia boleh dipelajari sendiri jika ada komputer.

20. Tapi tak mengapalah, tidak ada istilah rugi dalam menuntut ilmu. Sekurang-kurangnya saya dapat belajar sesuatu yang baru dan arwah bapa telah menjalankan tanggungjawabnya memberi pendidikan kepada anaknya.

21. Berbalik kepada cerita asal, IT atau teknologi maklumat benar-benar meledak di negara ini kira-kira 5 atau 6 tahun kebelakangan ini iaitu sekitar tahun 2007 dan 2008.

22. Ketika itu, komputer ( atau "PC" ) dan komputer riba ( laptop ) amat mampu dimiliki walaupun harganya masih bolehlah dikatakan agak mahal.

23. Dalam kalangan mahasiswa universiti, ada satu "trend" atau fenomena memiliki dan membawa laptop kemana-mana. Beg hitam yang berisi laptop disangkut di bahu dan di bawa kemana sahaja.

24. Siswa-siswi ini akan membawa dan menggunakan laptop ( yang biasanya dibeli menggunakan wang PTPTN) ke mana-mana dan bila-bila masa sahaja.

25.  Kadangkala, kelihatan siswa-siswi menggunakan laptop di perpustakaan, di kafe, di bilik bacaan, di bilik kuliah,  ada yang duduk di lantai kaki lima menaip sesuatu dan bermacam-macam gaya lagi.

26. Siswa-siswi ini kelihatan sangat bergaya dan "cool" dengan laptop masing-masing. Ini menambahkan lagi kegilaan muda-mudi terutamanya untuk memiliki laptop.

27. Saya tidak terkecuali. Saya membeli laptop sejurus mendapat PTPTN pada tahun 2006. Ianya laptop pertama saya dan satu-satunya laptop milik saya yang saya masih gunakan hingga kini! 

28.  Selain itu, percambahan "cyber cafe" ( kafe siber ) di merata-rata tempat dengan bayaran RM 2 sejam    ( biasanya ) meningkatkan lagi pengetahuan dan menambahkan lagi minat orang ramai terhadap komputer dan teknologi maklumat.

29. Penganjuran " PC Fair "  berserta promosi besar-besaran memantaskan lagi perkembangan IT dalam masyarakat.

30. Hari ini pakej-pakej jalur lebar ( broadband ) internet amat mudah di dapati dan kadar penembusan, kelajuan serta capaiannya amat tinggi sekali. Di tambah pula dengan kehadiran telefon pintar ( smart phone ) menambahkan lagi ledakannya.

31. Dunia pada hari ini bergerak di hujung jari. Maklumat diperolehi dan disebarkan hanya dengan satu "klik" pada papan kekunci komputer ataupun tolakan lembut ke kanan atau ke kiri hujung jari di skrin telefon pintar sahaja.

32. Hari ini, hujung jari amat serba boleh.

33. Jika dahulu, hujung jari digunakan untuk beberapa perkara sahaja seperti mendapatkan cop jari, mencungkil atau membuka penutup tin biskut, menggores kad top-up, menggaru kulit yang gatal serta mengorek hidung atau telinga ( ada ke orang yang tak pernah korek hidung atau telinga dengan jari? hehe..).

34. Zaman ini penggunaan hujung jari lebih meluas. Orang zaman sekarang berkomunikasi dan "bercakap" menggunakan hujung jari.

35. Mereka ( termasuk saya ) "menulis" , "melukis", "mewarna", "bermain muzik", bahkan "berdebat"  dengan hujung jari ( bukan lagi dengan lidah yang fasih dan petah berbicara)

36. Biasa juga kita "mendengar" orang yang "ketawa", "batuk", "bersin", dan "berdehem"  pun dengan menggunakan hujung jari. Hinggakan "menendang bola" pun dengan hujung jari.

37.  Bahkan, saya pernah melihat kanak-kanak sekitar usia 7 tahun memegang ipad dengan tangan kirinya boleh "menuang dan membancuh teh" dengan hujung jari kanannya! ( oh... rupa-rupanya kanak-kanak tadi sedang bermain "game" masak-masak ).

38. Samada hujung jari sedang "ketawa", "batuk", "berdehem" atau "membancuh teh", semuanya terpapar di atas skrin.

39. Tak sangka ya,  hujung jari kita sangat "genius" dan versetail!

40.  Jadi, sama-samalah kita sayangi dan menghargai hujung jari kita!



Tuesday, December 24, 2013

Ayam Berbulu Musang



Salam semua.

1. Ya, saya tahu saya salah. Saya telah menulis tajuk yang salah untuk entri kali ini. Peribahasa yang betul adalah " Musang Berbulu Ayam ". Bukannya terbalik seperti "Ayam Berbulu Musang"

2. Kita semua sedia maklum tentang maksud peribahasa " musang berbulu ayam ". Yang tak tahu atau tak pernah dengar pun peribahasa ini, mari saya terangkan makna disebaliknya.

3. Peribahasa " musang berbulu ayam " ini menggambarkan seseorang atau sekolompok orang yang berpura-pura baik kerana mahukan sesuatu atau ingin mengambil kesempatan terhadap orang lain.

4. Contohnya, ada orang yang berpura-pura begitu baik terhadap diri kita dengan cara sangat mengambil berat tentang diri kita dan seolah-olah sangat bersimpati dengan nasib malang yang menimpa kita.

5. Oleh kerana amat percaya dan yakin dengan keikhlasan dengan sikapnya itu, tanpa kita sedari sebenarnya orang itu hanyalah berpura-pura sahaja di hadapan kita. Niat sebenarnya adalah ingin mengorek segala rahsia, mengintip kelemahan, dan maklumat peribadi kita.

6. Setelah semua maklumat dan rahsia peribadi kita sudah dia tahu, ( kerana kita sendiri yang memberitahu akibat terpedaya) maka kita akan dimangsakannya dengan pelbagai cara.

7. Antaranya, dengan menyebarkan keaiban kita, memburuk-burukkan personaliti kita di hadapan orang lain, melaga-lagakan untuk melihat kita bernusuh dengan pihak lain dan seribu macam cara lagi.

8. Hakikat bahawa orang ini berkelakuan baik di hadapan kita tidak lebih hanyalah satu bentuk "lakonan sinetron" semata-mata.

9. Ada pasangan suami-isteri yang bercerai-berai angkara sikap "musang berbulu ayam ini", ada yang tertipu dalam bentuk wang tunai hingga mengalami kerugian beribu-ribu hingga berjuta-juta ringgit banyaknya, ada yang menderita kerana mengalami kemusnahan reputasi, terdapat juga mengalami kecederaan fizikal dan mengalami tekanan mental yang dahsyat dan banyak lagi.

10. Pendek kata, sikap "musang berbulu ayam" adalah sifat hipokrit tahap tertinggi yang boleh mendatangkan kemudaratan dan penderitaan yang sukar dibayangkan kesannya.

11. Golongan ini sentiasa ada dalam masyarakat dan sekeliling kita. Cuma, mereka sukar untuk di kesan dan lihat di depan mata kita kerana sangat pandai berpura-pura.

12. Jika kita tidak berhati-hati, sudah tentu kita akan menjadi mangsa mereka ini.

13. Mungkin ada yang terfikir, dari mana peribahasa ini mendapat namanya?

14. Itulah keistimewaan dan kebijaksanaan orang Melayu dulu-kala.

15. Mereka "hidup" dengan alam sekeliling, melihat, berfikir dan belajar setiap kejadian yang berlaku, memindahkan teori dan fakta dalam bentuk idea dan falsafah seterusnya merumuskan pengajaran yang mendalam dalam bentuk peribahasa dan bidalan buat panduan generasi seterusnya.

16. Saya telah lama mendengar peribahasa "musang berbulu ayam" ini. Kalau tak salah, semenjak saya mengenali apa itu peribahasa. Anda pun rasanya sama seperti saya.

17.  Walaupun saya tahu apa maksud disebalik peribahasa ini, saya tak pernah berfikir dan berimiginasi bagaimana seekor musang "memakai" bulu ayam.

18. Saya tidak menternak ayam. Ketika saya kecil, ada reban ayam di belakang rumah saya. Ia dibuat oleh arwah bapa saya kerana dia dulunya ada menernak ayam. Saya masih ingat. Tetapi, lama selepas itu, arwah bapa tidak lagi menternaknya.

19. Baru-baru ini, ada beberapa ekor ayam entah sesat dari mana telah menjadikan kawasan belakang rumah tempat mencari "rezeki" mereka.

20. Mungkin disebabkan kawasan belakang rumah saya ini banyak makanan (kot?), maka makin lama makin banyak pula ayam datang ke sini. Lagi pun, jiran sebelah rumah saya selalu beri ayam-ayam ini makan. Kadang-kadang di taburnya beras dan nasi. Maka bertambahlah lagi ayam-ayam "pendatang asing" ini.

21. Ayam-ayam yang dah sedia banyak ini, di"ramai"kan lagi apabila "mak-mak ayam" ini bertelur dan mengeram di situ. Anak-anak ayam yang menetas ini pun menjadikan "komuniti" ayam ini semakin membesar.

22. Saya suka melihat ayam yang banyak ini. Sebab, telurnya boleh diambil, dan ia boleh ditangkap dan disembelih bila tiba masanya. Tak perlu lagi beli di pasar.

23. Namun satu perkara yang amat merimaskan saya ialah, dengan bertambahnya ayam, maka "sisa toksin"nya juga bertambah. Alah, sisa toksin tu dah tentulah najisnya.

24. Jika dahulu, sebelum wujudnya "masyarakat" ayam dibelakang rumah saya, dan sebelum mereka berkembang biak, saya bebas berjalan atas simen (sebahagian belakang rumah saya bersimen, tapi tidak beratap), dengan bebas tanpa selipar, kini kebebasan itu sudah "dirampas".

25. Saya "wajib" berselipar" atau kalau tidak berseliapar saya kena berjalan berhati-hati (kadang-kadang berjengkit-jengkit) untuk mengelak terkena "sisa asli" mereka. Jika tak berhati-hati, alamat "selamatlah" tapak kaki ini.

26. Dari sudut positifnya, ayam-ayam jantan ini bagus kerana akan berkokok setiap subuh hari, tanda fajar akan menyinsing. Ada juga sumbangannya pada kami sekeluarga.

27. Ketika baru-baru mendiami kawasan belakang rumah, ayam-ayam jantan ini berkokok tak kira masa. Kadang-kadang pagi, tengahari, petang, lepas maghrib pun kadangkala ia berkokok. Saya dan ibu selalu ketawa dengan gelagat ayam-ayam ini apabila mendengar ayam-ayam jantan ini yang berkokok tak ikut time dan hanya "ikut suka dan sedap je". hehe.

28. Pada waktu petang, ayam-ayam ini, akan mencari makan jauh sedikit kebelakang rumah berdekatan kawasan semak seakan hutan. Anak-anak ayam ini ikut bersama.

29. Saya ada menanam beberapa batang anak pokok di kawasan belakang rumah saya. Pokok-pokok itu termasuklah anak pokok durian, manggis, rambutan, kelapa, harum manis dan beberapa jenis pokok lagi. Ia hobi baru saya sejak kebelakangan ini.

30. Biasanya, setiap pagi, (kalau rajin dan berkelapangan),  saya akan menyiram air pada pokok-pokok ini dan melihat-lihatnya.

31. Suatu pagi, ketika saya sedang menyiram anak-anak pokok itu, saya perasan ada banyak bulu ayam jantan berhampiran anak pokok manggis saya.

32. Saya ingatkan, ayam ini "main-main" dekat situ sampai bulunya tertanggal. Rupa-rupanya, setelah disiasat, bulu ayam itu terlalu banyak dan akhirnya barulah saya tahu yang ayam ini telah dimakan oleh haiwan lain. Ada kesan darah di situ.

33. Saya tak melihatnya, tapi saya yakin bahawa pasti musang punya angkara ni. Memang disebalik semak-samun di belakang rumah saya banyak haiwan-haiwan pemangsa seperti musang, biawak dan dulu pernah ada ular! ( ngeri rasanya bila diingatkan balik ).

34. Beberapa hari selepas itu, seekor demi seekor anak ayam "hilang". Ibu saya mengesannya apabila mendapati anak-anak yang banyak itu telah berkurangan dari hari ke hari.

35. Kasihan ayam-ayam ni. Ibu saya cuba nak tangkap anak-anak ayam itu, untuk diletakkan dalam tempat selamat. Tapi masalahnya, si ibu ayam tu terlalu garang, sampai nak di patuknya sesiapa sahaja yang cuba mengambil anaknya tu. Yalah kan, ibu mana yang tak sayang anak, ye tak?

36. Bila teringat kan peristiwa tersebut (ayam hilang dimakan musang), saya terus teringatkan peribahasa "musang berbulu ayam" ini. Kalau mengikut teori peribahasa ini, ayam-ayam di belakang rumah saya ini mungkin tak perasan kehadiran musang ketika sedang asyik mencari makan kerana musang-musang ini "menyamar" jadi ayam kot.

37. Mungkin kalau ayam-ayam ini tahu bahawa yang sedang bersama mereka itu bukanlah teman-teman ayam, tetapi si musang yang "memakai baju" yang sama seperti mereka, tentu mereka dah lama cabut lari.

38. Haha. Ia cuma satu analogi. Hakikatnya ialah ayam sangat "cuai" dan tak pernah ambil iktibar dan sedar yang musang sentiasa mengintip pergerakan mereka. 

39. Mungkin, ayam di belakang rumah saya perlu berubah dan buat sedikit anjakan paradigma. Contohnya, ketika sedang mencari makan di kawasan berhampiran semak, mereka "memakai" bulu atau "kostum" yang menyerupai musang. Tujuannya untuk mengelirukan dan memperbodohkan musang pula. Jadi keselamatan diri dan keluarganya terjamin.

40. Kalau ianya benar-benar belaku, maka ketika itu, akan lahir pula satu peribahasa baru yang moden iaitu, " Ayam Berbulu Musang".  Sebab itulah saya pilih ia sebagai tajuk entri saya kali ini!




Friday, December 20, 2013

Dunia Yang Bulat


Salam semua.

1. Sewaktu di sekolah rendah, kita diberitahu oleh guru Sains bahawa bumi kita berbentuk sfera.

2. Saya tidak tahu bagaimana dengan anda, tetapi bagi saya, itu adalah detik pertama saya mendengar perkataan "sfera".

3. Sebelumnya, saya hanya ingat bumi ini bentuknya bulat. Kalau bulat, tentulah rata.

4. Walaupun kisahnya ( bumi itu sfera ) ringkas, tetapi amat besar dan banyak maknanya pada saya.

5. Pertama, katakanlah, ibu bapa saya tidak menghantar saya ke sekolah, sudah tentu sampai mati saya akan menyangkakan bumi ini bentuknya bulat.

6. Keduanya, jika guru atau cikgu tidak memberitahu bahawa bumi ini sfera, dan juga menerangkan apa itu makna sfera, tentu juga saya akan terus-terusan "menuduh" bumi ini bulat.

7. Saya amat berterima kasih kepada kedua ibu bapa saya dan guru-guru saya. Saya kenal dunia kerana jasa mereka semua.

8. Berbalik kepada bumi yang sfera. Sebenarnya, ada beza yang sangat ketara antara bentuk bulat dan sfera meskipun kedua-duanya seakan sama.

9. Sfera ( sphere -istilah dalam Bahasa Inggeris ) adalah bentuk geometri 3 dimensi ( 3D ) yang mempunyai jarak jejari ataupun radius ( r ) yang sama dari titik pusatnya. Ia mempunyai luas permukaan dan isi padu yang boleh dikira melalui formula matematik tertentu. Contoh sfera adalah bola sepak, bola boling ataupun bola ping-pong.

10. Untuk luas permukaan sfera, formulanya adalah seperti dibawah:

                               A = 4π r2  

                                     
                            dimana: A = Luas pemukaan sfera
                                        π = 3.142
                                         r = jejari


11. Isipadu sfera pula dikira melalui formula berikut :

                              V = 4/3 πj3  
                   
                           dimana: V = Isipadu sfera
                                        π = 3.142
                                         r = jejari


12. Bulatan pula tidak mempunyai isi padu dan berbentuk 2 dimensi ( 2 D ) dan mempunyai permukaan yang rata. Contoh bulatan adalah piring dan sekeping cakera kompak ( CD ) atau pun DVD ( Digital Versatile Disc ).

13. Luas bulatan dikira melalui formula: A =  π r 2       


14. Lilitan bulatan pula adalah 2 π r.

15. Kesemua formula matematik berkaitan sfera dan bulatan seperti yang dinyatakan di atas ( juga lain-lain formula ) saya  pelajari di sekolah.

16. Setelah di dedahkan dengan ilmu Matematik dan Sains di sekolah, barulah saya tahu betapa besarnya perbezaan maksud antara sfera dan bulatan.

17. Ini bermakna, jika saya tidak belajar mengenainya, atau tiada sesiapa yang memberitahu saya tentang beza bulatan dan sfera, maka saya akan abadi melihat dunia dengan cara yang salah.

18. Apa akan terjadi bila saya melihat dengan cara yang salah? Saya akan berfikir dengan cara yang salah, bertindak dengan cara yang salah, dan menganggap semua orang lain adalah salah.

19. Akhirnya yang betul hanya seorang iaitu diri saya sendiri!

20. Oleh yang itu, saya akan sentiasa berfikir bahawa dunia ini bulat dan rata, sama bulat seperti sekeping DVD! Dengan berfikiran sedemikian ( bumi seperti sekeping DVD ) maka tentu pada pendapat saya sampah yang saya buang akan terus hilang kerana jatuh ke bawah dunia (kerana bumi seperti permukaan DVD yang licin). 

21. Akhirnya saya akan bertindak dengan cara yang salah iaitu membuang sampah merata-rata tanpa mengetahui kesannya pada bumi.

22. Disamping berbentuk sfera, bumi juga bergraviti. Apa pula itu graviti? Graviti adalah suatu daya pada bumi yang menarik semua objek ke bawah. Oleh itu, semua benda, termasuk kita, tidak terapung di udara. 

23. Mujurlah saya telah mengetahui lebih awal bahawa dunia ini bukan bulat yang rata tetapi sfera, dan bergraviti. Jadinya, dapatlah saya melihat dunia dengan cara yang betul, berfikir dengan betul dan bertindak dengan betul.

24. Sebagai contoh, setiap kali ingin membuang sampah, saya akan berfikir tentang tong atau bakul sampah, dan bertindak dengan membuangnya ke tempat sepatutnya kerana sampah tidak jatuh dari dunia dan terus hilang. 

25. Semuanya kerana saya tahu bahawa bumi yang saya tinggal ini bentuknya sfera dan ada daya graviti!

26. Jika kita melihat atau terjumpa kanak-kanak yang mengatakan dunia ini bulat dan rata, dengan penuh kasih sayang, maka betulkanlah pandangan mereka itu.

27. Mungkin ia nampak remeh, namun,  -Awas! Kita bimbang mereka akan terus melihat dunia dengan cara yang salah.

28. Katakan pada mereka dunia ini bentuknya sfera.

29. Tunjukkan sahaja bola sepak atau bola ping pong kepada mereka, minta mereka lambung ke atas, lihat apa yang terjadi, dan katakan kepada mereka yang dunia ini seperti bola yang mereka lihat dan lambung. Jika mereka masih tidak faham, tidak mengapa, biarkan sahaja. Mereka masih keanak-anakan.

30. Yang lebih penting, asalkan mereka tahu bahawa dunia ini tidak bulat tetapi sfera!



Wednesday, December 18, 2013

Makluman Pertukaran Nama Blog dan Capaiannya



Salam semua.

1. Saya, pengendali blog GOOD THINGS BEGIN HERE yang beralamat di goodthingsbeginhere.blogspot.com dengan ini mengumumkan secara rasmi pertukaran nama blog ini dan capaiannya mulai hari ini.

2. Nama baharu bagi blog ini adalah PERSONARISTA - yang menggunakan slogan:
                                     
                                                          
                                          "Aura pada Minda. Idea suatu Persona"

3. Capaian baru bagi blog ini adalah di personarista.blogspot.com.

4. Moga blog ini terus memberi manfaat untuk kita semua. InsyaAllah. Amin.

5. Sekian. Harap Maklum. Terima kasih kerana terus menyokong!